Berita UtamaDunia

Finland, Sweden yakin jadi ahli NATO Julai depan

Sauli Niinisto dakwa penyertaan terganggu ekoran keputusan Turkiye

HELSINKI, 21 Rejab 1444H, Ahad – Presiden Finland yakin negaranya dan Sweden akan menjadi ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada sidang kemuncak yang akan diadakan Vilnius, Poland pada 11 dan 12 Julai depan.

Sauli Niinisto berkata, sekiranya penyertaan kedua-dua negara tersebut tidak dapat dicapai, proses menyertai blok tersebut akan menjadi lebih tidak menentu.

Pemimpin Finland itu mengingatkan bahawa NATO telah memberikan jaminan kepada penyertaan Heksinki dan Stockholm dalam perikatan tersebut namun proses tersebut terganggu berikutan pendirian Ankara.

“Saya tidak fikir Presiden Recep Tayyip Erdogan akan tunduk dengan tekanan lain namun sekiranya berlaku rundingan dua hala antara Amerika Syarikat (AS) dan Turkiye, keadaan mungkin akan berubah dan memberi kesan,” kata Niinisto.

Sweden dan Finland sebelum ini mengamalkan sikap berkecuali namun memohon menyertai ahli NATO pada Mei tahun lalu selepas Russia melancar serangan ke atas Ukraine.

Melalui protokol awal penyertaan, semua ahli meluluskan penyertaan kedua-dua negara kecuali Turkiye dan Hungary.

Bagaimanapun, proses berkenaan terhenti Januari lalu selepas kejadian Ahli Parlimen Sweden, Rasmus Paludan membakar al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm dengan kebenaran pihak berkuasa Sweden.

Erdogan kemudian mengutuk demostrasi dan tindakan berkenaan dan berkata, Sweden tidak harus mengharapkan sokongan Ankara dalam menjadi ahli NATO.

Malah, Erdogan juga memberi amaran bulan lalu bahawa Turkiye mungkin mengambil keputusan mengenai keahlian Finland dalam NATO yang akan ‘mengejutkan’ Sweden. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button