Berita Utama

PAS Selangor pertikai ‘roadtax’ digital

Dakwa perubahan hanya timbulkan lebih banyak masalah daripada memudahkan urusan

BANGI, 21 Rejab 1444H, Ahad – PAS Selangor menempelak kerajaan campuran yang dakwanya lebih mengutamakan keperluan yang tidak penting berbanding menangani masalah bahan mentah dan keperluan utama rakyat untuk hidup seharian.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kerajaan sewajarnya selesaikan perkara yang lebih penting membantu rakyat terutama dalam kenaikan harga barang berbanding membuat pembaharuan ke atas sesuatu yang tidak perlu.

“Ini termasuk masalah kekurangan telur ayam, harga sayuran yang meningkat selain harga minyak petrol yang tidak turun-turun sebagaimana dijanjikan.

“Banyak lagi isu lebih kritikal yang belum selesai dan perlu ditangani segera berbanding pelekat cukai jalan dan lesen memandu digital.

“Isu telur, minyak petrol yang tak turun-turun, harga sayuran yang naik, kos hidup yang membebankan, kenapa cukai jalan dan lesen digital yang diutamakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau pada masa sama mempersoalkan kepentingan lesen digital yang diperkenalkan baru-baru ini.

“Yang saya tahu tujuan cukai jalan dipamerkan di kenderaan dengan maksud memudahkan pihak berkuasa membuat pemeriksaan.

“Sekatan jalanraya, kesalahan lalulintas dan sebagainya. Kalau ada sekatan jalan raya dan masing-masing terkial-kial dan buka aplikasi dalam telefon dan keadaan itu hanya menyusahkan lagi rakyat,” katanya.

Roslan turut mempertikaikan kaedah tersebut yang hanya menimbulkan lebih banyak masalah daripada memudahkan urusan.

“Selesailah yang patut diselesaikan. Jangan cakap lain buat lain. Rakyat makin bosan dengan kerajaan campuran ini,” katanya.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, ketika menjelaskan keputusan itu, hari ini berkata ini kerana cukai jalan itu akan disediakan di atas platform digital melalui aplikasi MyJPJ.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button