
KUALA LUMPUR, 22 Rejab 1444H, Isnin – Kementerian Luar mengesahkan 85 rakyat Malaysia di Syria selamat selepas gempa bumi berukuran 7.9 magnitud melanda negara itu dan Turkiye,w Isnin lepas.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihak berkuasa Syria telah memaklumkan perkara ini kepada Malaysia.
“Berdasarkan maklum balas Syria, kesemua 85 rakyat Malaysia di sana dilaporkan selamat dan tidak berada di kawasan bencana. Pada masa sama, misi bantuan ke Syria sedang digerakkan.
“Saya berdoa semoga pasukan misi diberi kekuatan dan keazaman untuk meneruskan misi,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, Mesyuarat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi di Turkiye dan Syria diadakan secara berkala bagi mengemas kini keadaan di kedua-dua negara.
“Setakat ini hanya empat rakyat Malaysia yang berada di kawasan bencana terdiri daripada dua doktor yang berkhidmat di hospital di kawasan berkenaan dan dua lagi berkahwin dengan penduduk setempat.
“Berdasarkan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), jumlah kematian telah melepasi 29,000 dengan 24,617 di Turkiye dan 4,500 di Syria,” katanya.