Berita Utama

Aman Palestin sasar kutipan RM12 juta Kempen Ramadan Bersamamu

Agih pada rakyat susah, kritikal, miskin di lima negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

BANGI, 22 Rejab 1444H, Isnin – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM12 juta bagi Kempen Ramadan Bersamamu untuk diagihkan kepada penduduk Palestin, Syria, Yaman, Lubnan dan Turkiye.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, kempen yang sudah bermula sejak 1 Februari lalu hingga 7 Mei 2023, bakal mencapai penerima manfaat sebanyak 138,000 orang.

Beliau berkata, kempen tahunan ini diteruskan untuk memastikan rakyat di negara bergolak mendapat keselesaan terutama di bulan suci Ramadan.

“Kempen Ramadan Bersamamu merupakan kempen tahunan yang dilaksanakan oleh Aman Palestin untuk memenuhi keperluan sepanjang Ramadan di Palestin, Syria dan Yaman

“Aman Palestin berusaha sebaik mungkin menyediakan bantuan di antaranya tajaan iftar, Bakul Ramadan (bekalan makanan asas), hadiah raya dan pembinaan masjid,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Muhd Farhan berkata, semua keperluan itu akan diagihkan kepada penduduk Palestin, Syria dan Yaman yang berada dalam taraf kehidupan yang susah, kritikal dan sangat memerlukan.

“… khususnya keluarga miskin, anak-anak yatim, keluarga yang mempunyai ahli yang kurang upaya ibu tunggal dan beberapa faktor lain yang berkaitan,” katanya.

Melalui kempen ini juga, beliau berkata, Aman Palestin membuka ruang kepada seluruh masyarakat untuk turut serta dalam projek pembinaan Masjid Syeikh Khalil di Bar Elias, Beqaa, Lubnan. 

Jelasnya, masjid ini mampu memberi manfaat kepada 10,000 penduduk termasuklah 3,000 pelarian Syria di sekitar kawasan tersebut.

Beliau memaklumkan, tempoh jangkaan masjid ini disiapkan adalah selama 18 bulan bermula bulan Mac 2023.

Bukan itu sahaja, Aman Palestin turut menyasarkan untuk mendapatkan kutipan sebanyak AS$1 juta bagi memberi manfaat kepada mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria.

Katanya, Aman Palestin telah pun memberi sumbangan awal sebanyak AS$60,000 kepada mangsa gempa bumi bagi memulihkan semula kehidupan mereka.

“Seminggu lalu mereka baru berhadapan dengan gempa bumi yang dahsyat dengan kekuatan 7.8 skala richter yang pastinya telah meruntuhkan ribuan rumah, lot kedai dan fasiliti-fasiliti lain. 

“Puluhan ribu nyawa terkorban sudah cukup menceritakan kepada dunia bahawa bencana tersebut merupakan bencana terburuk yang dirasai oleh Turkiye dan Syria ketika ini. 

“Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, Aman Palestin dengan penuh simpati dan rasa bertanggungjawab telah memperuntukkan AS$60,000 sebagai bantuan kecemasan awal,” katanya.

Di samping itu, Muhd Farhan memaklumkan, Aman Palestin akan melaksanakan dua Misi Bantuan Kemanusiaan iaitu pada pertengahan Februari dan Mac ini.

“Kami di Aman Palestin mengajak seluruh masyarakat membantu mereka yang memerlukan di Palestin, Syria, Yaman, Turkiye dan Lubnan ketika ini yang sememangnya amat memerlukan daripada kita. 

“Dalam setiap sumbangan yang kita berikan, pasti ada senyuman yang mekar terutamanya mereka yang selama ini menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan kedaulatan Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button