Apakah DAP akan puas hati jika Melayu jadi minoriti dalam perkhidmatan awam?
Orang Melayu masih jadi sasaran untuk dipersalahkan

SEBELUM ini saya ada ulas mengenai kenyataan yang mempertikaikan ancaman terhadap orang Melayu, terus DAP timbul seolah-olah membuktikan realiti tersebut.
Pemimpin DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, YB P. Ramasamy baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keberadaan orang Melayu yang membentuk majoriti penjawat awam.
Dalam kenyataan itu, beliau begitu keras mendesak Perdana Menteri yang merupakan pengerusi gabungan yang dianggotai DAP itu sendiri, iaitu Pakatan Harapan agar memecahkan monopoli orang Melayu dalam penjawat awam.
Apakah DAP akan hanya berpuas hati jika orang Melayu dan Bumiputera menjadi minoriti dalam perkhidmatan awam kerajaan? Padahal orang Melayu dan Bumiputera membentuk majoriti besar populasi penduduk Malaysia. Maka, tak pelik pun jika mereka juga majoriti dalam penjawat awam.
Malah, puak-puak rasis kamu ini juga yang beriya-iya dan berbangga apabila orang-orang bukan Melayu dan Bumiputera terutamanya orang Cina majoriti besarnya memilih untuk keluar dari landasan pendidikan arus perdana kebangsaan untuk sistem sendiri (UEC). Maka, tidak peliklah mereka ini tidak akan masuk perkhidmatan awam.
Sudahlah angkuh dan sombong yang bersulamkan semangat rasis yang membakar, selepas itu orang lain pula yang dipersalahkan. Yang lagi bijak, DAP dan konco-konconya pula cadang solusi dungu supaya UEC diiktiraf untuk dijadikan kelayakan untuk diterima masuk ke perkhidmatan awam. Apalah mabuk punya solusi.
Sudahlah banyak negeri yang sudah terima ‘solusi mabuk’ ini. Berapa ramai orang bukan Melayu yang bekerja dengan perkhidmatan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Negeri Sembilan dan sebagainya? Itu pun tak cukup. Orang Melayu masih jadi sasaran untuk dikambinghitam dan dipersalahkan juga.
Baru-baru ini, YAB Tan Sri Abang Johari Openg dalam satu kenyataannya ada ulas juga berkaitan perkara UEC ini. Katanya orang Cina (yang majoritinya lulusan UEC) tidak mahu kerja perkhidmatan awam kerana gaji rendah.
Amboi, selama ini orang Melayu dan Bumiputera yang sering dikambinghitam itu boleh sabar dan redha sahaja dengan gaji rendah sedemikian. Apabila nak fikir bangsa lain, barulah terkial-kial berfikir bab gaji rendah. Memang mabuk sungguh.
Malang jugalah usaha beliau itu. Sudah iktiraf UEC pun mereka tak mahu bekerja dengan kerajaan negeri. Sampai kena gula-gulakan dengan gaji pula. Macam peribahasa “sudah dapat betis, nak peha”.
Eloklah sangatlah kombinasi mabuk yang ada ini:
1. Satu pihak lobi nak kurangkan penguasaan orang Melayu.
2. Satu pihak lobi bab gaji sebab nak ambil hati bangsa tertentu.
3. Satu pihak mensucikan pihak nombor 1 dan 2 tersebut.
Apa-apa pun, saya harap agar kita tidak ikut mabuk sekali, khususnya termabuk kerana pengaruh pihak nombor 3 ini. Nanti kalau semua sudah tergadai baru nak sedar, sudah tiada gunanya lagi.
Aminuddin Yahaya
Gagasan Bangsa
Rujukan:
Gaji Rendah Penghalang Belia Cina Graduan UEC Berkhidmat Kerajaan – Premier Sarawak