Pertikai hak Melayu boleh cetus suasana tak harmoni
Guna undang-undang yang ada cegah budaya negatif

BANGI, 22 Rejab 1444H, Isnin – Semua parti politik perlu menjunjung Perlembagaan dan menghormati asas perjanjian yang membentuk kemerdekaan.
Justeru, sebarang usaha menyentuh perkara berkaitan hanya akan menggugat keselamatan negara dan keharmonian masyarakat.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, semua hak yang termaktub dalam Perlembagaan adalah persefahaman dibina untuk pembentukan negara.
“Mengkritik amalan agama Islam, pertikai tulisan Jawi, keistimewaan orang Melayu seperti perkhidmatan awam, peruntukan Islam sebagai agama negara boleh mencetuskan suasana tidak harmoni,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Razman berkata, PAS yang merupakan parti berteraskan politik Islam menekankan keadilan, keharmonian dan kestabilan negara sangat megambil berat terhadap usaha yang menggugat kedaulatan.
“Pihak berkuasa diharap menggunakan ruang undang-undang yang wujud bagi mencegah budaya negatif yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya.