Berita Utama

Wanita BERJASA komited basmi isu keciciran murid dalam pendidikan

Usrah Khadijah platform kaum hawa tingkatkan ilmu, laksana projek kemanusiaan

BANGI, 22 Rejab 1444H, Isnin – Wanita BERJASA berpandangan isu keciciran murid dalam pendidikan bukan disebabkan oleh masalah ekonomi semata-mata, tetapi ia berpunca daripada pelbagai faktor.

Timbalan Ketua Wanitanya, Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin berkata, isu ini adalah salah satu perkara yang harus ditangani secara lebih luas dan holistik, bukan hanya bersandarkan kepada faktor tahap ekonomi keluarga murid sahaja.

Justeru, Wanita BERJASA melancarkan inisiatif ‘Usrah Khadijah’ sebagai salah satu solusi kepada keciciran anak-anak dalam pendidikan.

“Usrah Khadijah adalah satu platform untuk wanita bagi meningkatkan ilmu dan intelektual diri serta tempat mengumpulkan wanita untuk bersilaturahim dan saling berganding bahu melaksanakan projek-projek kemanusiaan untuk masyarakat setempat,” kata Ustazah Siti Umi Kalsom

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Syahadah Qira’at AL Quran dan Pelancaran Usrah Khadijah, semalam.

Program usahasama antara Wanita BERJASA Kapar dengan Akademi Ngaji Anjung Lestari miliknya ini mensasarkan untuk memberi pendidikan kepada wanita.

Katanya, ia demi melihat golongan hawa menjadi satu sosok tubuh peribadi yang berilmu dan dapat membimbing anak-anak serta keluarganya menuju kecemerlangan.

Tegasnya, peranan seorang ibu sebagai pendidik pertama anak-anak harus diperkasakan.

“Ibu yang berilmu akan menjadi penolak utama dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dalam isu keciciran ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button