4,815 kanak-kanak jadi mangsa penderaan seksual gereja Portugal
512 mangsa tampil namun hanya 25 dakwaan diserah ke pendakwa raya

LISBON, 23 Rejab 1444H, Selasa – Lebih 4,800 kanak-kanak didakwa menjadi mangsa penderaan seksual di Gereja Katolik Portugis, di mana 512 mangsa tampil mendedahkan perbuatan keji itu.
Pegawai kanan gereja Portugis sebelum ini mendakwa kononnya hanya segelintir kes seumpama itu berlaku.
Bagaimanapun, panel pakar yang meneliti kes penderaan di gereja itu mendedahkan beberapa kisah mengerikan berhubung dakwaan perbuatan berkenaan yang disertakan di dalam laporan akhir mereka.
Jawatankuasa Bebas untuk Kajian Penderaan Kanak-Kanak di Gereja Katolik – yang ditubuhkan biskop Portugis lebih setahun lalu – meneliti kes yang didakwa dari tahun 1950 dan seterusnya.
Difahamkan, laporan kes berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat tergempar 3 Mac ini.
Panel berkata, statut had untuk kebanyakan kes di dalam laporan itu sudah tamat tempoh dan hanya 25 dakwaan diserahkan kepada pihak pendakwa raya.
Ketua Persidangan Biskop Portugis, Biskop Jose Ornelas meminta maaf kepada mangsa kerana kegagalan pihak gereja menangani skala masalah itu.
“Penderaan seksual kanak-kanak adalah jenayah kejam, ia adalah luka yang menyakitkan (mangsa) dan memalukan kami,” katanya.
Pakar psikiatri yang mengetuai panel di Portugal, Pedro Strecht berkata, dianggarkan jumlah mangsa dalam tempoh kajian itu adalah sekurang-kurangnya 4,815.
Meskipun panel tidak mendedahkan nama mangsa, identiti pendera atau tempat penderaan berlaku, difahamkan senarai pendera sudah dihantar dan suspek dikatakan masih aktif di gereja. – Agensi