Berita Utama

Apa ukuran Tok Mat nilai DAP ikhlas dengan UMNO?

Al-Quran tegaskan jangan mudah serah amanah pada bukan Islam

BANGI, 23 Rejab 1444H, Selasa – Apakah ukuran yang dibuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sehingga beliau meyakini keikhlasan DAP dalam membentuk kerjasama pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

Demikian persoalan yang ditimbulkan Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim terhadap kenyataan Mohamad atau Tok Mat berhubung kerjasama UMNO dan DAP di bawah kerajaan campuran.

Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, Zamani menyifatkan kenyataan Mohamad tidak selari dengan pendirian UMNO sebelum ini yang secara terang-terangan menolak DAP.

Video itu turut memaparkan petikan kenyataan Mohamad dipercayai pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang menyatakan bahawa PAS tidak pernah setia serta ikhlas bekerjasama dengan UMNO, tetapi tidak bagi DAP.

Menurut Mohamad, DAP tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan, maka UMNO juga tidak perlu bersikap demikian ketika kedua-dua parti itu bekerjasama.

Menyelar kenyataan Mohamad itu, Zamani berkata, selama ini Menteri Pertahanan berkenaan antara pemimpin yang sangat meragui DAP.

“Tiba-tiba baru sebulan dua (bekerjasama) dah kata ikhlas. Apa ukuran yang dibuat oleh Tok Mat?

“Dalam al-Quran ayat 118 Surah al-Imran, saya ambil dia punya mafhum bahawasanya kita orang beriman ini jangan mudah sangat menyerahkan amanah kepada orang bukan Islam kerana mereka ini banyak lidahnya memburuk-burukkan dan memusuhi Islam,” katanya.

Bahkan, katanya, Allah SWT juga menyebut bahawa ramai orang bukan Islam sentiasa mempunyai perancangan buruk yang mahu dilakukan terhadap agama Islam.

“Maka, Tok Mat sebagai Timbalan Presiden yang kata DAP itu ikhlas atas dasar apa? Nak kata atas dasar kenal DAP, selama ini you kenal DAP itu buruk, tak baik sehingga Tok Mat tak sanggup duduk dengan DAP,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button