Selangor buka 3 muzium baharu tahun hadapan
Usaha pelihara, dokumentasi sejarah, warisan negeri

KUALA SELANGOR, 23 Rejab 1444H, Selasa – Kerajaan Selangor akan membuka tiga muzium baharu awal tahun hadapan bagi meneruskan usahanya untuk memelihara dan mendokumenkan sejarah, warisan dan budaya negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah berkata, tiga muzium yang dibina baharu ialah Galeri Seni Selangor dan Muzium Setem di Shah Alam serta Muzium Tekstil di Klang.
Selain itu, katanya, Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam yang kini dalam proses baik pulih dijangka dibuka semula kepada pengunjung pada hujung tahun ini.
Borhan turut memaklumkan pihaknya sedang berusaha untuk mewartakan sebuah kapal korek bijih timah yang terletak di Sepang untuk dijadikan sebagai muzium selain menjadi tarikan baharu untuk industri pelancongan di negeri berkenaan.
“Jentera seberat 6,000 tan itu turut berpotensi untuk diiktiraf sebagai warisan sejarah di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kerana ia adalah kapal korek terbesar di dunia yang masih berfungsi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor di Bukit Malawati hari ini.
“Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sedang giat memastikan perkara ini berjalan dan sekarang kerja perwartaan tanah di sekitarnya sedang dibuat melibatkan tanah seluas 8.09 hektar.
“Kita yakin jika tiada halangan, tahun depan atau tahun seterusnya ia akan dibuka. Kita akan panggil ia muzium perlombongan dan cadangkan untuk dibuka restoran pada hujung tahun ini di kawasan terbabit sambil pengunjung boleh menikmati pemandangan di tasik sekitarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Borhan berkata, Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor dibuka semula kepada pengunjung mulai hari ini, selepas siap diubah suai akibat rosak dalam kebakaran pada 2011.
Beliau berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk kerja-kerja baik pulih dan ubah suai muzium berkenaan bermula 2014 hingga 2021.
Katanya, muzium berkenaan turut mempamerkan 44 jenis permainan tradisional yang dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula pukul 9.30 pagi hingga 5 petang dengan tiket berharga RM3. – Bernama