Berita Utama

Mampukah PH kekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini?

Asas ekonomi negara kukuh pun hasil kerajaan sebelumnya: Dr Mohd Zuhdi

BANGI, 24 Rejab 1444H, Rabu – Pertumbuhan ekonomi negara yang positif pada tahun lepas dan tahun 2021 sebelumnya, menjadi bukti kejayaan kedua-dua Perdana Menteri ke-8 dan Perdana Menteri ke-9, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Beliau berkata, minggu lepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2022 tumbuh pada kadar 8.7 peratus. 

Menurut Gabenor Bank Negara, Tan Sri Norshamsiah Mohd Yunus, kadar pertumbuhan tersebut adalah yang tertinggi sejak tahun 2000. 

Berdasarkan pertumbuhan positif tersebut, Malaysia diramal tidak akan menghadapi kemelesetan ekonomi pada tahun 2023 ini.

“Seperti yang semua maklum, kerajaan yang memerintah Malaysia pada tahun 2022, adalah Kerajaan Campuran Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). 

“Hanya berbaki sebulan sahaja bagi tahun 2022 itu, Persekutuan diperintah oleh Kerajaan Campuran yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH). 

“Dengan pengertian lain, pertumbuhan ekonomi yang positif adalah kejayaan besar kerajaan yang diketuai oleh Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri sebelumnya Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Dr Mohd Zuhdi.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan sebelum ini untuk memberi bantuan tunai secara langsung kepada golongan sasar selain inisiatif secara tidak langsung seperti moratorium pembayaran balik pinjaman dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), diyakini melestarikan kuasa beli pengguna.

Selain itu, katanya, tindakan kerajaan terdahulu melipatkan ganda inisiatif berkaitan ekonomi digital semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mendorong sektor perkhidmatan berkaitan ekonomi digital ini berkembang pesat sehingga hari ini. 

“Jelas sekali perkembangan ekonomi digital ini telah membantu melonjakkan perdagangan dalam sektor pemborongan dan peruncitan yang tumbuh pada kadar 15.2 peratus sehingga pada Oktober tahun 2022,” katanya.

Mengenai ramalan sejak tahun lalu bahawa negara akan terkesan dengan kemelesetan ekonomi global pada 2023, beliau berkata, Gabenor Bank Negara dengan nada optimis mempercayai Malaysia dijangka tidak melalui episod kemelesetan pada tahun ini. 

Nada optimis itu adalah berdasarkan prestasi ekonomi negara yang begitu memberangsangkan pada tahun 2022.

“Boleh disimpulkan, ketika kerajaan yang diketuai PH mengambil alih pemerintahan pada akhir tahun lepas, asas ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang kukuh. 

“Situasi yang sama berlaku pada tahun 2018, ketika PH membentuk kerajaan selepas PRU14, asas ekonomi Malaysia juga berada dalam keadaan kukuh. 

“Bagaimanapun, selepas PH memerintah prestasi ekonomi negara merudum sehingga mereka tumbang selepas 22 bulan. Bagaimana pula kali ini? Adakah Malaysia akan hadapi kemelesetan tahun ini?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button