Berita Utama

Muhyiddin gesa lagi kerajaan benarkan pengeluaran KWSP

Laksana secara bersasar bantu golongan memerlukan

KUALA LUMPUR, 24 Rejab 1444H, Rabu – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengulangi gesaannya supaya kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu dapat membantu meringankan beban rakyat.

“Dengarlah suara rakyat yang mahukan kebajikan mereka dijaga. Tidak salah kerajaan mempertimbangkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP. 

“Dan biarlah pengeluaran disasarkan jika itu yang rakyat mahukan bagi membantu meringankan beban mereka di zaman serba mencabar ini.

“Ia bukan wang kerajaan (KWSP), tetapi wang mereka,” katanya semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja di Parlimen hari ini.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata, perkara yang sama harus dilakukan dengan moratorium.

“Bank terus mengaut keuntungan walaupun negara berdepan pandemik COVID-19. Kenapa tidak, sekali lagi bank-bank ini membantu peminjam dengan memberikan moratorium bersasar untuk tempoh tertentu untuk membantu mereka dengan inflasi dan kadar dasar semalaman.

“Kerajaan tidak perlu mengeluarkan wang, walaupun satu sen,” katanya lagi.

Terdahulh, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan wang simpanan KWSP dikeluarkan lagi bagi menjamin masa depan pesaraan pencarum. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi mengurangkan beban rakyat, kerajaan sedang mencari mekanisme lain tanpa memberi impak terhadap pencarum ketika bersara nanti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button