Berita UtamaDunia

Israel lulus RUU batal kerakyatan warga Palestin

Pemastautin akan terbatal, dihantar ke Tebing Barat, Semenanjung Gaza

TEL AVIV, 25 Rejab 1444H, Khamis – Israel meluluskan undang-undang yang membenarkan kerajaan haram itu membatalkan kerakyatan atau pemastautin daripada rakyat Palestin yang menurutnya telah melakukan ‘tindakan keganasan’.

Mereka akan dihantar pulang ke Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki, dalam undang-undang yang hanya akan terpakai kepada rakyat Palestin sahaja.

Bacaan akhir rang undang-undang itu diluluskan di Knesset, Parlimen Israel, dengan 94 undi berbanding 10 pada hari Rabu, mendapat sokongan meluas daripada kerajaan campuran dan parti pembangkang.

Undang-undang itu menetapkan mereka yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan yang melanggar ‘kepercayaan kepada Negara Israel’ dan yang telah menerima bentuk pembiayaan daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) boleh menyebabkan kewarganegaraan atau pemastautin mereka terbatal dan dihantar pulang ke Tebing Barat yang diduduki atau Semenanjung Gaza yang terkepung.

Ia akan terpakai kepada kedua-dua warga Palestin yang mempunyai kerakyatan Israel dan penduduk tetap Baitulmaqdis Timur yang diduduki, yang menolak kerakyatan Israel tetapi mempunyai ID pemastautin oleh Kementerian Dalam Negeri Israel.

Pakar undang-undang,Saba Pipia memberitahu Middle East Eye minggu lalu bahawa dasar itu adalah jenayah perang dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Mengeluarkan penduduk tetap Palestin di Baitulmaqdis, yang merupakan orang yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa mengikut Konvensyen Geneva Keempat, bermakna sebagai pelanggaran besar konvensyen itu dan dengan itu jenayah perang,” katanya.

Di samping itu, memaksa rakyat Palestin di Baitulmaqdis untuk menunjukkan kesetiaan kepada Israel juga melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Perkara 45 Peraturan-Peraturan Den Haag melarang kuasa pendudukan daripada memaksa penduduk wilayah yang diduduki untuk bersumpah setia kepadanya.  

“Oleh itu, penduduk Palestin di Baitulmaqdis tidak diwajibkan untuk setia kepada Negara Israel, kuasa pendudukan.” – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button