Dunia

Gadis 17 tahun selamat, terperangkap 248 jam bawah runtuhan

Lebih 41,000 korban dilaporkan sejak gempa bumi 6 Februari

ANKARA, 26 Rejab 1444H, Jumaat – Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang diumpamakan terhadap ‘takdir’ seorang mangsa gempa bumi Turkiye, Aleyna Olmez yang ditemukan selamat selepas terperangkap selama 248 jam di bawah runtuhan bangunan.

Olmez, 17, ditemukan dalam keadaan hidup di bawah runtuhan di daerah Dulkaridoglu di wilayah Kahramanmaras, tatkala pasukan penyelamat tidak lagi mengharap akan ada mangsa yang terselamat selepas hampir dua minggu kejadian gempa bumi dahsyat berkenaan.

Anggota pasukan mencari dan menyelamat, Hacer Atlas berkata, mereka menemukan Olmez selepas usaha yang panjang dan meletihkan.

Dia kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan.

“Mula-mula kami memegang tangannya, kemudian kami membawanya keluar.

“Dia berada dalam keadaan yang sangat baik, dia boleh berkomunikasi. Kita harap akan terus menerima berita baik mengenainya,” kata Atlas.

Sehingga kini, lebih 41,000 mangsa dilaporkan terkorban akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye dan Syria minggu lalu.

Gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud – berpusat di wilayah Kahramanmaras – menjejaskan lebih 13 juta penduduk di 11 wilayah termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

Beberapa negara di rantau itu, termasuk Syria dan Lubnan turut merasai gegaran kuat yang melanda Turkiye.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button