Berita Utama

Isu pesakit berseluar pendek, netizen pertahan petugas hospital

'Nak masuk kasino pun ada etika pakaian, ini pula jabatan kerajaan'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Rejab 1444H, Jumaat – Isu seorang wanita yang didakwa kononnya dinafikan hak mendapat rawatan kerana memakai pakaian tidak sesuai di hospital sehingga tular, kini menjadi topik hangat pengguna media sosial.

Meskipun media pengurusan Hospital Kampar dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sudah mengeluarkan kenyataan, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan respons pihak atasan.

Sebelum ini, seorang wanita berusia 21 tahun mendakwa dihalang mendapatkan perkhidmatan di Hospital Kampar, Perak kerana berseluar pendek.

Wanita terbabit mendakwa dihalang masuk oleh kakitangan hospital berkenaan ketika dibawa ke jabatan kecemasan kerana sakit perut teruk.

Susulan itu, pengurusan Hospital Kampar dilaporkan sudah menegur seorang pegawai kesihatan hospital itu yang dikatakan terlibat dalam kejadian berkenaan dan menafikan telah mengeluarkan sebarang arahan untuk menafikan rawatan kepada pesakit berdasarkan cara berpakaian.

Semalam, Dr Zaliha dalam kenyataan di Facebook turut membuat teguran sama dan meminta pengamal perubatan mengutamakan tugas merawat tanpa mengira latar belakang kaum atau kod etika berpakaian.

Bagaimanapun, kebanyakan pengguna di Facebook mempertahankan petugas terbabit, selain tidak bersetuju dengan tindakan wanita berkenaan hadir ke hospital berpakaian sedemikian.

Rata-rata mereka menyifatkan wajar untuk wanita terbabit mematuhi kod etika berpakaian di premis kerajaan termasuk hospital, melainkan bagi kes-kes kecemasan.

“Etika berpakaian dah lama ada di semua jabatan kerajaan, kenapa nak salahkan pegawai berkenaan? Kenapa nak bela pesakit yang tak mematuhi etika berpakaian? Bukan pesakit tersebut dalam keadaan kritikal,” kata Sarimah Kak Mah.

“Kenapa staf hospital pula diberi teguran? Staf tersebut bertindak mengikut etika pemakaian di bangunan kerajaan, sepatutnya pesakit yang diberikan penjelasan isu,” tulis Amir Yusuf.

Pemilik akaun Ramzi Rahman pula menyifatkan Menteri Kesihatan dan pengurusan hospital terlalu bersikap apologetik kepada individu terbabit, sedangkan petugas hanya melaksanakan prosedur berdasarkan Rukun Negara.

“Nak masuk kasino pun ada tata pemakaian. Kalau bukan kecemasan sila hormati tata pemakaian sesuatu jabatan. Jika tidak, itu bukan warganegara Malaysia yang baik,” tulis Mona Balkish.

“Tahniah pengamal kesihatan yang menegur etika pakaian pesakit tersebut yang tidak berada dalam keadaan kritikal. Anda menghayati Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan,” kata Awie Muslimin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button