PAS tawar 40 peratus calon muka baharu untuk PRN
Agihan kerusi masih dibincang, serah pada majlis tertinggi

BANGI, 26 Rejab 1444H, Jumaat – PAS belum membuat pembahagian kerusi pada Pilihan Raya negeri (PRN) dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada majlis tertinggi dan jawatankuasa perunding parti.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu belum membincangkan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, PAS sudah meninjau simulasi umum untuk memberi fokus kepada negeri yang boleh dimenangi pada PRN nanti.
“Calon muka baharu kira-kira 40 peratus dan kita minta Muslimah dan Pemuda boleh menyenaraikan nama yang sesuai untuk tapisan sebagai calon,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.
Katanya, PAS kini menerima purata seramai 5,000 ahli baharu setiap sebulan dengan sebahagian besarnya ialah golongan muda.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersesuaian kepada Khairy Jamaluddin.
Katanya, sehingga kini PN belum menerima permohonan bekas Menteri Kesihatan itu, namun sentiasa terbuka menerima mana-mana pemimpin dan ahli UMNO yang dipecat atau digantung.
“PAS dan PN turut mengalu-alukan tokoh atau ahli daripada parti lain yang tidak bersetuju dalam muafakat politik parti mereka,” katanya.