Berita Utama

Tukar nama jalan: Tiada jasa Chen Man Hin di Negeri Sembilan

Muafakat Nasional desak kerajaan negeri tarik balik keputusan

BANGI, 26 Rejab 1444H, Jumaat – Mendiang Chen Man Hin mungkin berjasa kepada DAP, tetapi bukan untuk masyarakat di Negeri Sembilan.

Justeru, Muafakat Nasional Negeri Sembilan menegaskan tiada keperluan untuk ‘mengabadikan’ nama pengasas DAP itu di salah satu jalan utama di bandar Seremban.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin berkata, langkah menukar nama jalan hanya retorik politik yang tidak penting ketika ini, berbanding menyelesaikan isu mendesak berkaitan rakyat.

“Muafakat Nasional Negeri Sembilan dengan ini menyatakan bantahan dan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang dikawal DAP untuk menamakan jalan di bandar Seremban dengan nama Chen Man Hin.

“Jasa mendiang yang hanya berkisar sebagai pengasas DAP bagi menampung penyokong PAP selepas kejayaan PAP membawa Singapura keluar dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mendiang juga adalah individu di sebalik Deklarasi Setapak 1967 yang menjadi teras perjuangan Malaysian Malaysia dan menghapus Bumiputera melalui konsep kesamarataan.

“Ia sangat bertentangan dengan semangat Malaysia hari ini, maka timbul juga persoalan adakah ini cara senjata Malaysia Madani mengiktiraf usaha melenyapkan hak Bumiputera?,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Negeri Sembilan dilaporkan bersetuju menukar nama dua jalan utama di Seremban kepada nama dua tokoh, masing-masing dalam hal ehwal agama dan politik, iaitu Allahyarham Datuk Sheik Mohd Murtadza Ahmad dan mendiang Dr Chen Man Hin.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, Jalan Sikamat ditukar menjadi Jalan Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad, iaitu bekas Mufti Negeri Sembilan manakala Jalan Temiang ditukar menjadi Jalan Dr Chen Man Hin, pengasas yang kemudian pengerusi dan penasihat seumur hidup DAP ketika hayatnya.

Mengulas lanjut, Badrul turut kecewa apabila kerajaan negeri mengheret Sheikh Mohd Murtadza demi untuk menghalalkan tindakan itu.

“Tindakan ini seolah menyamakan taraf Almarhum Sheikh Mohd Murtadza dengan mendiang Chen Man Hin.

“Jika hendak namakan nama jalan dengan nama ahli politik Negeri Sembilan, lebih baik angkat nama Arwah Datuk Ishak Ismail yang jauh lebih banyak jasanya dengan ketegasan prinsipnya,” katanya.

Serentak itu, beliau mendesak kerajaan Negeri Sembilan – yang dikawal DAP – untuk menarik balik keputusan menukar nama jalan kepada tokoh yang tidak sepatutnya.

Berita berkaitan;

BERJASA bantah tukar Jalan Temiang kepada nama pengasas DAP

Tukar nama Jalan Temiang kepada pengasas DAP cubaan ubah identiti negara

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button