Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kerajaan kaji subsidi ayam, telur Jun ini

RM1.8 bilion diperuntuk pada penternak, pengeluar setakat ini

BAGAN DATUK, 27 Rejab 1444H, Sabtu – Kerajaan akan mengkaji semula keperluan untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur pada Jun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak RM1.8 bilion subsidi telah diperuntukkan kepada penternak dan pengeluar terlibat dan ia dijangka meningkat melebihi RM2 bilion sehingga Jun ini.

“Menjelang Jun kita akan buatkan kajian untuk teruskan subsidi atau kaedah lain bagi memastikan harga bahan mentah tersebut kembali stabil.  

“Itu yang sedang kita kaji, kalau sudah stabil apa perlu lagi subsidi dan berbelanja wang (subsidi) itu boleh digunakan di tempat-tempat lain yang lebih memerlukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Madani: Perikanan Cukup dan Terjamin di Hutan Melintang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) supaya melakukan pemeriksaan secara terperinci terhadap telur yang diimport dari India demi memastikan tahap kualitinya mencapai standard ditetapkan.

“JPV akan melakukan pemeriksaan segera dan sebarang maklum balas berkenaan perkara itu akan dilaporkan kepada kementerian,” katanya.

Semalam, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dilapor menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) supaya sentiasa memastikan telur yang diimport dari India diperiksa dengan sewajarnya bagi mengelak penjualan telur tidak berkualiti dan telah tamat tempoh.

Terdahulu, Mohamad melakukan lawatan di QL Foods dan Leng Wah Fishery bagi melihat perkembangan operasi penghasilan produk makanan sumber laut.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button