Mukhriz ada jumpa pemimpin tertinggi PAS: Sanusi
'PAS terbuka, terima sesiapa sokong perjuangan'

BANGI,27 Rejab 1444H, Ahad – Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi PAS, baru-baru ini, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pengarah Pilihan Raya PAS itu bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pertemuan tersebut.
“Saya difahamkan Mukhriz ada jumpa beberapa pemimpin PAS. Saya tak tahu di mana mereka berjumpa dan tak pasti apa yang dibincangkan tetapi harap-harap ia sesuatu yang positif.
“Pertemuan itu diadakan baru-baru tetapi saya tak tanya pun apa dibincangkan. Pertemuan itu melibatkan pemimpin dalam kalangan lima tertinggi PAS,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berharap pertemuan berkenaan membawa hasil yang positif.
Katanya, PAS sentiasa menerima sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan parti itu
“Kalau Mukhriz nak masuk PAS kita terima, Itu kalau nak masuk PAS lah… Kalau nak jadi Menteri Besar, susahlah sikit,” katanya lagi.
Januari lalu, Mukhriz mengambil keputusan berundur daripada Gerakan Tanah Air (GTA) kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.
Mukhriz tidak menolak kemungkinan Pejuang akan menjalin kerjasama politik sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.