Kolumnis

Bila lagi nak letak nama jalan Lim Kit Siang?

Mengiktiraf pemimpin DAP bermakna bersetuju dengan prinsip perjuangan Malaysian Malaysia

KALAU negeri Pulau Pinang memilih dan meletak jalan Chen Man Hin, seperti mana mereka namakan jalan Karpal Singh, saya tidak hairan sangat, tetapi bila Negeri Sembilan letak sebegini, saya cukup terkejut beruk. 

Apakah pemimpin MCA dan MIC yang sudah meninggal dunia, sudah tidak berjasa lagi setelah bercumbu dengan DAP? Tunggulah lama sikit bercumbu dengan DAP, dah tahu hati budinya, baharulah iktiraf. 

Ini terlalu awal sangat, tak sampai 100 hari bercumbu, semua jadi baik. Bekas-bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, apakah kurang jasanya. 

Jika begitulah cara cumbuannya, tidak lama lagi ramai nama pemimpin DAP yang akan menghiasi nama jalan, atas alasan ‘sumbangan besarnya’ kepada negara. Hebat pemimpin ultra kiasu Melayu dalam menilai sumbangan dan jasa pemimpin negara. 

Kalau nak sangat letak nama jalan kepada pemimpin DAP, disebabkan oleh kehebatan jasa dan budinya, bukan Chen Man Hin. 

Tetapi Tan Seng Giaw, bekas Ahli Parlimen Kepong. Beliau juga seorang doktor perubatan dan ahli parlimen yang banyak membantu rakyat. Abadikan nama dia semasa hidup, bukan sudah tiada.

Sepanjang kajian perbandingan jasa dan budi, dalam kalangan pemimpin DAP, pada saya kalau nak beri pun, Seng Giaw adalah paling layak. 

Beliau seorang yang patriotik berbanding dengan pemimpin parti ultra kiasu yang lain. Bahasa Melayu Seng Giaw begitu fasih jauh lebih baik berbanding penama jalan tersebut.

Memberikan justifikasi bahawa Chen Man Hin seorang wakil rakyat, pengamal perubatan, sangat dangkal dan ultra kiasu. Ramai lagi ahli parlimen dan juga pengamal perubatan, kenapa tidak diberikan pengiktirafan. 

Kalau nak cari juga wajah bukan Melayu, uncle Kentang, tidak kurang hebat jasanya. Menteri-menteri Cina yang telah meninggal pun masih ramai. 

Kenapa sekarang baharu nampak jasa DAP ini? Kenapa sebelum ini, tuduh parti ultra kiasu ini macam-macam?

Esok bila bercerai dengan DAP, takkan nak cabut nama jalan tersebut? 

Jika nak meraikan kepelbagaian, hanya kerana negara ini berbilang kaum, nak tunjukkan kita pemimpin hebat, tidak ketepikan kaum lain, buatlah cara lain, bukan ini caranya. 

Mengabadikan nama seseorang kepada nama jalan, akan menjadikan ia kekal selamanya. Apakah negara kita sudah tandus nama-nama besar untuk diabadikan? 

Perlu ada formula dalam mengabadikan nama jalan kepada seseorang yang berjasa. Jika ada 10 orang misalnya, untuk 10 nama jalan, maka formulanya 7:2:1. Tujuh untuk Melayu dan Bumiputera, selebihnya kaum lain. Bukannya 1=1. 

Formula ini perlu terpakai dalam semua perkara, termasuk pembinaan rumah ibadat. Kuil sahaja sudah menenggelamkan bilangan masjid dan surau. 

Pemimpin yang bijak dan faham erti hikmah perlu faham makna persamaan dan keadilan atau ‘equality dan equity’. 

1=1, ini adalah formula yang telah sekian lama diperjuangkan DAP atas nama Malaysian Malaysia. Pada DAP, keadilan itu adalah persamaan, fair and square. 

Nampaknya, Melayu ultra kiasu sudah terikut-ikut. Sayang sekali pemimpin UMNO pun sudah mula memahami sedemikian, bila bercumbu dengan DAP.

Pemimpin negara atau negarawan perlu memahami dan mendalami, makna yang tersurat dan tersirat dalam Dasar Ekonomi Baharu dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Teramat malang, jika ada pemimpin bertindak atas kepentingan politik, bukan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Jika kerajaan perpaduan ini panjang umurnya, tidak lama lagi, pasti akan diabadikan nama Lim Kit Siang. 

Pemimpin ultra kiasu Melayu sudah lama mengiktiraf, cuma saya nak dengar daripada mulut pemimpin UMNO sendiri.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button