LCS perlu diuji 24 bulan sebelum dibenarkan operasi
Kapal kini dalam fasa pemasangan alat pertahanan, senjata

KUALA LUMPUR, 28 Rejab 1444H, Isnin – Kapal tempur pesisir (LCS) pertama negara yang dijadual siap pada tahun depan memerlukan lanjutan tempoh 22 hingga 24 bulan lagi bagi tujuan penilaian sebelum dibenarkan beroperasi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia melibatkan penelitian fungsi kapal berkenaan menerusi dua penilaian iaitu di pelabuhan dan lautan.
Beliau berkata, penilaian di pelabuhan adalah bagi menguji kemampuan kapal yang telah siap dibina itu untuk terapung dan bergerak.
“Selepas ujian pelabuhan, kita perlu pula bawa uji kapal LCS ini untuk keluar ujian pengoperasian di laut, ia ambil masa 22 hingga 24 bulan dan barulah kapal akan ditauliahkan.
“Jadi kena ingat, bila kita kata siap itu, maksudnya siap dalam pembinaan di dok kering, ujian pelabuhan dan laut,” katanya menjawab soalan tambahan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai jumlah kos sebenar projek LCS selepas pengurangan daripada enam kepada lima kapal pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad Hasan berkata, kapal itu kini dalam fasa pemasangan alatan pertahanan, persenjataan dan elektronik.
“Saya sendiri melihat dalam gudang Boustead Naval Shipyard. Kapal pertama, enjin sudah ada dalam badan, kotak gear, aci gear dan bebaling pun dah ada.
“Cuma tinggal pemasangan teras sahaja. Yang lain, kapal ini dibina mengikut blok, semua blok dah dipasang, cuma blok teras tersebut memang dikosongkan untuk memasang blok elektronik kerana kita tidak boleh pasang peralatan itu dulu,” katanya.
Beliau berkata, bagi perolehan sistem persenjataan utama LCS, kementerian memperoleh Surface to Surface Missile secara terus dengan pengilang peralatan asal (OEM).
Setakat ini, katanya status perolehan ini berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan manakala bagi perolehan Surface to Air Missile, ia masih belum dilaksanakan dan bergantung kepada hala tuju perolehan LCS.- Bernama