Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tengku Zafrul sahkan dipanggil SPRM bantu siasatan

Bekas menteri kewangan sedia beri kerjasama dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 28 Rejab 1444H, Isnin – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengesahkan bahawa beliau telah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.

Menurut Tengku Zafrul, beliau akan berjumpa dengan pihak SPRM dalam masa terdekat dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi itu.

Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan sama ada ia berkaitan projek Jana Wibawa yang sedang disiasat pihak SPRM.

“Saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Selepas dipanggil baru boleh saya sahkan mengenai apa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MITI dan agensi, di sini, hari ini.

Semalam, SPRM, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya akan memanggil Tengku Zafrul yang merupakan bekas Menteri Kewangan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa Tengku Zafrul akan dipanggil dalam masa terdekat.

Menurut Tengku Zafrul, sepanjang pengetahuannya semasa menerajui Kementerian Kewangan sebelum ini, tiada ‘perbelanjaan’ yang tidak sepatutnya berlaku. 

“Tapi itu setakat pengetahuan saya, biarlah SPRM buat siasatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul, menerusi catatan di Facebook semalam, berkata tiada apa yang perlu disembunyikan dan beliau sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button