Berita Utama

Jana Wibawa: Tengku Zafrul sahkan sudah beri keterangan

Sedia beri kerjasama pada pihak berkuasa jika diperlukan

BANGI, 30 Rejab 1444H, Selasa – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau dalam kenyataan di Facebook berkata, ia bagi membantu siasatan berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Katanya, beliau memberi keterangan sebagai saksi pada lewat petang semalam dan sedia memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak jika diperlukan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

“… dan saya akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan. Terima kasih,” katanya.

Selain Tengku Zafrul, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara individu yang turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu projek Jana Wibawa.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Untuk rekod, Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan bawah pentadbiran Muhyiddin bagi mempercepat pelaksanaan projek bertujuan merancakkan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19, selain meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.

Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button