Kes demam denggi meningkat, 4 kematian direkod minggu lalu
Peningkatan 207.9 peratus bagi tempoh sama tahun 2022

BANGI, 30 Rejab 1444H, Selasa – Jumlah kes denggi pada minggu epidemiologi (ME) ke-7 tahun ini, iaitu dari 12 Februari hingga 18 Februari meningkat sebanyak 182 kes atau 9.3 peratus kepada 2,149 berbanding 1,967 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan pada Selasa berkata, empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu berkenaan.
Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 15,243 kes berbanding 4,950 kes bagi tempoh sama pada tahun 2022, iaitu meningkat sebanyak 207.9 peratus.
Katanya, sebanyak 13 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding satu kematian bagi tempoh sama pada tahun lalu.
“79 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 86 lokaliti hotspot pada sebelumnya, membabitkan 53 lokaliti hotspot di Selangor, 20 di Sabah, empat di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta dua di Pulau Pinang,” katanya.
Manakala bagi survelan Chikungunya, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lapan kes direkodkan pada minggu ke-7 dengan empat kes dari Pulau Pinang, tiga kes dari Selangor dan satu kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini adalah 94 kes. Bagi survelan Zika, sebanyak 328 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan Zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.