Berita Utama

Khaled Nordin tawar diri jawatan Naib Presiden UMNO

Mahu kembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO

BANGI, 29 Rejab 1444H, Selasa – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menawarkan diri mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya ketika ini dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, penawaran buat kali kedua sebagai Naib Presiden parti adalah demi mengembalikan semula kepercayaan kepada UMNO yang hilang menerusi proses pemulihan.

Beliau berkata, keputusan itu juga hanya bertujuan semata-mata untuk meneruskan khidmat dan bakti kepada UMNO di saat parti itu dianggap jauh daripada orang Melayu.

“Dengan bekerja bersama-sama semua yang percaya bahawa parti yang lemah, parti yang kalah harus bangkit kembali.

“Berbekalkan segala kekuatan dan kelemahan saya, izinkan saya meneruskan ikhtiar yang tertangguh dan memeta semula sasaran masa depan parti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan kenyataan Mohamed Khaled itu, setakat ini hanya satu calon menawarkan diri bertanding bagi merebut kekosongan tiga jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti bulan depan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad berkata, sehingga 19 Februari lalu, masih belum ada mana-mana pemimpin yang menawarkan diri bertanding bagi merebut kekosongan tiga jawatan Naib Presiden UMNO.

Malah, katanya, kerusi Ketua Wanita UMNO dan Ketua Pemuda UMNO sehingga kini masing-masing menyaksikan hanya seorang calon menyerahkan borang pencalonan, manakala Ketua Puteri pula menyaksikan persaingan enam calon.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button