Berita Utama

Muhyiddin hargai tindakan Wan Saiful letak jawatan, elak pandangan salah terhadap parti

Bersatu akan buat pelantikan baharu isi jawatan Ketua Penerangan

BANGI, 1 Syaaban 1444H, Rabu – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji tindakan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan demi kepentingan parti.

Katanya, beliau sangat menghargai tindakan sukarela yang diambil Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu yang meletakkan satu standard untuk pemimpin yang dihadapkan ke mahkamah.

“Saya telah berjumpa dengan Datuk Wan Saiful pagi tadi. Selepas kita berbincang beliau bersetuju meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu berkuatkuasa hari ini.

“Bukan kerana kita mengatakan beliau bersalah. Ini satu set standard menunjukkan kita bahawa kerana dia berhadapan dengan pertuduhan supaya tidak menimbulkan apa-apa salah pandangan terhadap Bersatu.

“Beliau sendiri menyatakan ‘saya akan meletakkan jawatan’. Ini satu langkah yang cukup saya hargai,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Muhyiddin menambah keputusan Wan Saiful melepaskan jawatan bakal memudahkan partinya menepis pandangan negatif rakyat.

“Kita akan berhadapan dengan rakyat atas dasar bermaruah dan ini bukan menghukum. Dia sukarela. Sesuatu tindakan yang penuh mulia.

“Ini memudahkan penggantinya menjalankan tugas kerana ketua penerangan ini penting untuk memperluaskan dasar dan perjuangan, matlamat parti.

“Yang penting manifesto yang akan dibentangkan kepada rakyat di enam negeri,” katanya.

Beliau pada masa sama menjelaskan Bersatu akan melantik seorang ahli majlis tertinggi parti bagi menggantikan kedudukan berkenaan.

Pagi tadi, Wan Saiful mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu berkuat kuasa serta merta.

Semalam, beliau dihadap ke mahkamah atas dakwaan rasuah dalam projek Central Spine Road bernilai RM232 juta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button