Parti pembangkang Turkiye ikrar haramkan penjualan rumah kepada warga asing
Kemal kritik polisi pengecualian cukai perumahan bagi warga asing

ANKARA, 1 Syaaban 1444H, Rabu –Pemimpin pembangkang, Parti Republik Rakyat (CHP), Kemal Kilicdaroglu berikrar tidak akan menjual rumah kepada warga asing sepanjang tempoh lima tahun sekiranya partinya memenangi pilihan raya tidak lama lagi.
Menerusi ciapan di laman Twitter, beliau berkata, larangan berkenaan akan kekal berterusan sehingga harga rumah berkurangan.
“Mereka (merujuk kepada kerajaan hari ini) telah melaksanakan pelbagai sistem yang menyusahkan rakyat, menyebabkan rakyat hari ini kehilangan rumah disebabkan gempa bumi.
“Tetapi apabila kami menjadi pemerintah, kami akan melarang penjualan rumah kepada warga asing dan banyak perkara yang mahu diperbetulkan,” tulisnya.
Pada masa sama, Kemal turut mengkritik polisi pengecualian cukai bagi warga asing yang membeli rumah dalam mata wang asing.
“Dalam penjualan rumah baharu kepada rakyat kita, cukai nilai tambah ialah lapan peratus bagi 150 meter persegi dan 18 peratus bagi bahagian yang melebihi meter persegi ini.
“Namun warga asing pula dikecualikan daripada cukai nilai tambah dengan syarat mereka membawa wang ini sebagai mata wang asing ke negara ini.
“Warga asing melakukan pembelian tinggi, dengan kelebihan ini mereka menaikkan harga rumah,” tulisnya.
Berikutan dua gempa bumi besar melanda di tenggara Turkiye pada 6 Februari lalu, negara kini berdepan masalah perumahan apabila ribuan penduduk melarikan diri dan meninggalkan wilayah berkenaan bagi mencari tempat yang lebih selamat. – Agensi