Berita Utama

Pejuang perlu kemuka secara rasmi jika mahu kerjasama dengan PH

Belum terima permohonan rasmi untuk bentuk kerjasama

BANGI, 1 Syaaban 1444H, Rabu – Pejuang sewajarnya mengemukakan hasrat untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) menerusi platform rasmi.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan itu bagi memastikan pertimbangan berkenaan dapat dilakukan sewajarnya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang permohonan bagi membentuk kerjasama dengan Pejuang.

“Ketika ini Amanah kekal dengan keputusan perbincangan antara PH dan Barisan Nasional (BN) berhubung persiapan menghadapi PRN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Pertemuan berkenaan memutuskan PH dan BN akan fokus kepada perbincangan lanjut tanpa membabitkan kerjasama baharu daripada mana-mana gabungan atau parti lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Salahuddin menjelaskan dalam hal berkenaan, Majlis Presiden akan memainkan peranan dan memutuskan langkah seterusnya.

“Jadi hasrat Pejuang mahu bekerjasama terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk memutuskan langkah seterusnya.

“Berdasarkan pengalaman, biasanya kita akan tunggu dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk minta supaya adakan pertemuan rasmi untuk berbincang,” katanya.

Semalam, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar mendakwa Mukhriz berminat menyatakan hasrat untuk membentuk kerjasama bersama PH bagi menghadapi PRN dan hasrat itu dinyatakan dalam pertemuan di ibu negara, kira-kira dua bulan lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button