Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

PN tetap kukuh walau ada cubaan jatuhkan pemimpin parti: Penganalisis

Rakyat nilai perjuangan parti bela Melayu, Islam, bukan salahlaku individu semata-mata

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 1 Syaaban 1444H, Rabu – Kepercayaan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) tetap kukuh meskipun beberapa orang penting dalam parti tersebut dihadapkan ke mahkamah.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussein menyifatkan, pendakwaan ke atas individu penting dalam PN sebagai cubaan membunuh karier politik individu berkenaan, selain mencalarkan reputasi dan kredibiliti parti.

Namun, tegas beliau, rakyat hari ini tidak mudah ‘termakan’ sebaliknya lebih bijak mencari kebenaran dan keadilan terutama melalui media sosial kini yang berperanan dalam menyalurkan maklumat penting dengan jelas.

“Kalau tujuh atau lapan tahun lalu mungkin rakyat menerima bulat-bulat contohnya ketika Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), rakyat percaya habis tetapi hari ini rakyat ada pilihan untuk mencari kebenaran tersebut.

“Banyak saluran dan pilihan untuk rakyat hari ini mencari kebenaran dan cubaan menjatuhkan reputasi PN semata-mata hanya untuk mengaburi mata rakyat bahawa PN juga bukan parti yang suci dan bersih,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendakwaan ke atas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan bagi pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta.

Mengulas lanjut, Prof Atory berkata, rakyat kini menilai perjuangan politik melalui parti dan bukannya individu semata-mata.

Katanya, walaupun rakyat cuba didedahkan dengan salah laku pemimpin dalam parti tersebut namun perjuangan politik PN tetap menjadi pilihan rakyat.

“Rakyat sudah menerima PN kini sebagai parti yang boleh membantu dan membela nasib orang Melayu dan Islam di negara ini yang sebelum ini ‘ditakluk’ oleh UMNO.

“Rakyat juga sudah terima UMNO hari ini sudah habis taring dan kekuasaan selain tidak mampu membawa perjuangan orang Melayu dan Islam selepas bergabung dengan DAP,” katanya.

Beliau berpandangan, pemerintah hari ini terlalu rakus mengheret pemimpin pembangkang sedangkan individu yang diheret tersebut adalah rakan-rakan seperjuangan dalam politik dan pernah membantu suatu masa dahulu.

Katanya, tidak mustahil tindakan tamak itu hanya akan memakan dirinya sendiri di masa akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button