Industri filem Hollywood: Menormalisasi agenda kufur
Falsafah mereka menafikan kewujudan atau hakikat Ketuhanan

SIAPA yang tidak kenal Hollywood? Ia adalah ‘kilang’ yang menghasilkan produk-produk yang lebih dikenali sebagai filem secara khususnya yang menjadi salah satu komoditi utama dunia Barat (Amerika Syarikat) yang diekspot ke hampir seluruh dunia.
Sebut sahaja apa genre (jenis) filem yag dikeluarkan dan diterbitkan – perang, sejarah, jenayah, makhluk asing, paranormal, seram, lawak jenaka, seks, dokumentari, biografi, sains fiksyen, kartun, animasi – sama ada dalam bentuk filem atau drama bersiri. Dari kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa, Hollywood sudah menguasai hati kita sejak puluhan tahun lamanya.
Hollywood bukan semata-mata atau sekadar satu industry akan tetapi ia merupakan satu bentuk “escapism” masyarakat Barat dari realiti dan permasalahan hidup yang sebenar kepada satu dunia fantasi, impian, angan-angan dan fiksyen.
Ia adalah satu industri hiburan yang sangat lumayan kepada para pemegang saham dan penggerak-penggeraknya.
Ia juga merupakan satu pilihan kepada sebahagian anggota masyarakat untuk mencari nafkah hidup dan laluan kerjaya yang sama ada boleh membahagiakan hidup seseorang atau mencelakakan keluarga dan masadepannya.
Pembaca barangkali akan tertanya-tanya kenapa saya meletakkan tajuk penulisan ini dengan menggambarkan Hollywood sebagai platform yang mengarus perdanakan agenda kufur? Kerana memang itulah sifat dan tabiatnya!
Kita jangan beranggapan kononnya produk-produk Hollywood tidak berbahaya atau membawa kebaikan juga di sebalik produk-produk sampah yang dihasilkannya. Kononnya penonton sudah matang untuk menilai dan membezakan antara yang baik atau buruk dari filem-filem yang dihasilkan.
Atau iman seseorang tidak akan goyah atau menjadi murtad setelah menontonnya. Atau kononnya di dalam realiti hari ini, kita tidak boleh terlepas dari unsur-unsur yang melalaikan, atau memberi alasan bahawa tidak boleh sekat kreativiti seseorang atau kecerdikan akal manusia untuk menghasilkan karya-karya agong dalam dunia seni.
Semua alasan di atas tidak mampu berdiri kukuh bila diletakkan pada sistem nilai yang cuba diterapkan secara halus dalam kebanyakan filem-filem Hollywood masa kini.
Jangan fikir bahawa kebanjiran filem-filem tersebut ke dalam rumah-rumah kita (dalam pelbagai platform media) sebagai tetamu yang tidak punya apa-apa agenda kufur.
Cuba perhatikan setiap satu dari filem-filem dan drama bersiri yang ditawarkan – falsafah yang paling menonjol yang dibawa dan dipaparkan adalah falsafah yang menafikan kewujudan atau hakikat Ketuhanan dan perkara-perkara ghaib, yang kedua-dua ini sangat fundamental dan asas bagi penganut-penganut agama, khususnya umat Islam.
Unsur-unsur Kekuasaan Sang Pencipta sudah ditiadakan lalu digantikan dengan “The Force”, tuhan-tuhan dan mitos-mitos Syirik di ‘manusia’kan, manusia digambarkan sebagai makhluk luar biasa yang boleh menguasai atau melawan kekuatan alam semesta atas dorongan akal semata-mata, pertarungan atau perjuangan antara dua pihak selalu dinaratifkan sebagai pertembungan antara dua ‘kuasa’ yang tidak ada kena mengena dengan pengaruh agama atau kuasa Pencipta.
Kalaupun ada unsur-unsur ghaibiyah, ia akan diperjelaskan melalui ilmu fizik atau matematik atau pun hujah-hujah yang tidak dikaitkan dengan nilai-nilai agama.
Hollywood boleh dikatakan sebagai penerus warisan pihak yang dahulunya telah menolak dan melawan Gereja (agama Kristian) yang cuba campurtangan dalam urusan-urusan dunia dan ilmu pengetahuan. Agama (yang diwakili oleh pihak Gereja) tidak berhak untuk memberi ‘fatwa’ dalam urusan kemerdekaan dan hak-hak peribadi, seni, sastera, politik, budaya, pendidikan, pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Pendek kata, agama tidak boleh mengawal hawa nafsu manusia atau menentukan bagaimana seseorang itu mengatur atau menguruskan hidupnya.
Falsafah kufur ini dapat dikesani melalui pemikiran ahli-ahli falsafah Yunani zaman silam, yang dikembangkan oleh para pemikir selepas mereka sehinggalah pada kemuncaknya semua cabang falsafah itu membentuk asas dan dasar kepada tamadun dan peradaban Barat hari ini.
Justeru itu, kita akan dapati bahawa bukan sahaja nilai-nilai kekufuran begitu menebal sekali di dalam filem-filem Hollywood, bahkan agenda LGBT, Islamofobia, Feminisma, Rasisma, ketuanan kulit putih (White Supremacy) sudah menjadi satu kepastian dan kemestian di dalam produk-produk sampah tersebut. Boleh dikatakan, Hollywood adalah pengeluar terbesar produk-produk filem Islamofobia.
Meskipun demikian, masih terdapat suara-suara prihatin di kalangan sebahagian masyarakat Barat, khususnya dari penganut agama Kristian yang masih berpegang pada pentingnya keluhuran akhlak dan aspek-aspek keagamaan mereka. Merekalah yang gigih cuba membantah penyusupan dan indoktrinasi penyimpangan akhlak ini ke dalam filem-filem yang boleh mempengaruhi pemikiran anak-anak mereka (dan juga orang dewasa).
Ini bukan sesuatu yang termasuk di dalam teori konspirasi, tetapi sedang berlaku dengan terang dan nyata dan malangnya tidak disedari oleh sebahagian umat Islam, khususnya di kalangan para peminat filem-filem Hollywood. Paparan elemen-elemen syirik ini diangkat sebagai tajuk perbincangan dan ulasan yang bersemangat oleh para Netizen, seolah-oleh tokoh-tokoh mitos atau tuhan tersebut adalah sesuatu “makhuk” yang nyata dan sangat dekat dengan hati, jiwa dan perasaan penonton.
Sebarang kritikan yang jujur akan dibalas dengan komen-komen yang bersemangat dari para pentaksub filem-filem ini. Ini kerana pengaruh filem-filem bernada kufur ini telah meresap dan menjadi sebati dengan deria emosi dan perasaan individu yang berkenaan. Hal ini tidak menghairankan kerana proses “brainwashing” atau normalisasi ini sudah berjalan sejak puluhan tahun, dari peringkat kanak-kanak hinggalah menjangkau usia emas. Dan proses meracunkan minda dan pemikiran ini masih lagi beroperasi hingga ke hari ini.
Sudah tentulah kita tidak menolak kewujudan banyak filem dari Hollywood yang membina jati diri, menghormati kemuliaan insan, memberi inspirasi dan motivasi serta hiburan-hiburan yang munasabah. Akan tetapi ia hanyalah satu peratusan yang amat kecil berbanding dengan agenda kufur yang lebih dominan pada kebanjiran filem-filem Hollywood yang tidak dapat dikawal oleh institusi dan agensi penguatkuasa masyarakat.
Kelajuan internet, perkhidmatan streaming, ketaksuban para peminat filem, kelemahan penguatkuasaan, ketidakpedulian masyarakat, kelantangan kumpulan-kumpulan hak asasi, polisi kawal selia yang sangat lemah, kepentingan para pemegang pertaruhan dan tekanan dari pihak industri sendiri secara kolektif telah menguatkan lagi arus normalisasi agenda kufur ini. Jadi, di mana alternatifnya, anda mungkin bertanya.
Saya tidak ada jawapan segera yang akan memuaskan sesiapapun. Sudah tentu kita tidak akan dapat menyaingi Hollywood dari segi dana yang besar, kepakaran teknologi, keterampilan para pelakon dan sumber yang tidak terbatas. Akan tetapi, sesuatu filem yang berkualiti dan yang membawa mesej yang baik tidak semestinya atau selalunya berkait dengan dana, teknologi atau sudut-sudut teknikal lain.
Syarikat-syarikat perfileman dan pengarah filem dari Iran misalnya tertakluk kepada garis panduan yang sangat ketat dari segi plot, jalan cerita dan para pelakonnya. Akan tetapi walaupun dengan sekatan-sekatan tersebut, mereka masih berjaya menghasilkan filem-filem yang sangat berkualiti dan merentasi sempadan antarabangsa dengan mesej-mesej kekeluargaan dan kemanusiaan yang tinggi.
Demikian juga dengan negara Turkiye yang sejak beberapa tahun dahulu sudah berjaya menghasilkan filem dan drama sejarah yang bermotifkan mesej-mesej sejarah Islam seperti Dirilis Ertugrul, Kurulus Osman, Payitaht Abdul Hamid, Yunus Emre dan seumpamanya, yang mampu menseimbangkan antara sudut-sudut hiburan, mesej dan naratif yang disampaikan dengan pulangan pelaburan yang dibelanjakan.
Malah, di luar jangkaan, filem-filem tersebut telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan lebih menariknya, ada di antara para peminat drama-drama tersebut memeluk Islam setelah menontonnya.
Apa yang diperlukan ialah persediaan dan kesedaran dari para penerbit, pengarah, penulis skrip dan para penggiat seni untuk kembali kepada tunjang dan dasar yang memberi makna dan ruh kepada pembikinan filem-filem tempatan kita. Satu contoh yang dapat diberikan ialah filem Mat Kilau yang memeranjatkan semua pihak dengan kutipan hampir RM100 juta sedangkan ia hanyalah sebuah filem berdasarkan peristiwa sejarah Tanah Melayu.
Saya berpandangan bahawa antara rahsia di sebalik kejayaan filem Mat Kilau ialah kerana jalan cerita, skrip dan olahan naratif di dalamnya yang sangat berkait rapat dengan dua unsur penting sejarah negara – iaitu kebangkitan pahlawan Melayu melawan penjajah dan juga dasar perjuangan yang diinspirasikan dari ajaran-ajaran Islam.
Fenomena ini dapat dilihat juga pada filem Umar Mukhtar misalnya (tentang sejarah perlawanan umat Islam Libya melawan penjajah Itali) dan juga darama-drama bersiri Turkiye yang disebut sebelum ini.
Hollywood mungkin memiliki segala-galanya dan justeru tu dapat memaksakan kehendaknya ke atas para penonton meskipun jalan cerita dan mesej yang disampaikan penuh dengan agenda kekufuran dan falsafah sekular. Akan tetapi, ia masih dapat dikalahkan dengan filem-filem dari negara-negara Islam yang kaya dengan falsafah keTuhanan, sejarah perlawanan umat Islam dan naratif yang lebih manusiawi.
Thor, Luke Skywalker, Superman dan Disney cuba berpegang pada sesuatu yang tidak akan bertahan lama.
***************
Bacaan tambahan:
https://news.yahoo.com/disney-executive-producer-admits…
Disney Executive Producer Admits to ‘Gay Agenda,’ ‘Adding Queerness’ Wherever She Could (yahoo.com)
https://www.foxbusiness.com/…/disney-officials-leaked…
Disney exposed: Leaked videos show officials pushing LGBT agenda, saying DeSantis wants to ‘erase’ gay kids | Fox Business
https://www.christianitydaily.com/…/parents-push-back…
Parents Push Back Against Disney’s LGBTQ+ Agenda : Society : Christianity Daily – Your Source for Christian News & Inspiration
https://nypost.com/…/disney-is-boasting-about-pushing…/
Disney is boasting about pushing ‘gender theory’ to kids (nypost.com)
https://muslimskeptic.com/…/disney-commits-to-pushing…/
Disney Commits to Pushing LGBT: What Muslim Parents Should Know – The Muslim Skeptic
https://muslimskeptic.com/…/avengers-pop-culture…/
Avengers, Vikings, and ‘God of War’: How Pop Culture Popularizes Polytheism – The Muslim Skeptic
https://islamophobiainusmedia.weebly.com/hollywood.html
Hollywood – Islamophobia in US media (weebly.com)
https://www.cage.ngo/on-marvel-hollywood-and-the…
On Marvel, Hollywood and the Dehumanisation of Muslims – CAGE
http://islaminfilm.weebly.com/hollywood.html
Hollywood – Islamophobia in Film and Documentary (weebly.com)
Mohd Lutfi Abdul Khalid
Pemerhati politik