Minta kerusi, Mukhriz didakwa terdesak
Tindakan 'biasa' untuk terus bertahan dalam kancah politik

KUALA LUMPUR, 2 Syaaban 1444H, Khamis – Perikatan Nasional (PN) mengkritik tindakan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang didakwa meminta kerusi daripada dua pihak – PAS dan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan Mukhriz yang cuba meminta kerusi serta mahu bekerjasama dengan kedua-dua gabungan hanya untuk memastikan kesinambungan kerjaya bekas Ahli Parlimen Jerlun itu sebagai ahli politik.
Dalam keadaan terdesak sekarang, Hamzah mendakwa, ia adalah tindakan biasa yang akan dilakukan oleh ahli politik seperti Mukhriz untuk terus ‘bertahan’ dalam kancah politik tanah air.
“Maknanya dia terdesak sekarang nak cari tempat. Biarlah dia.
“Tidak mengapa, sebagai ahli politik dia kena buat supaya dia boleh bergantung kepada (parti politik lain),” katanya seperti dilapor media tempatan.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada laporan bahawa Mukhriz mengadakan pertemuan dengan pemimpin kedua-dua PN dan PH, untuk bekerjasama dengan gabungan parti itu pada pilihan raya negeri akan datang.
Menurut sumber yang rapat dengan bekas Menteri Besar Kedah itu, permintaan berhubung peruntukan sejumlah kerusi dibuat Mukhriz ketika mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan PAS baru-baru ini.
Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan terdapat pertemuan antara Mukhriz dan pucuk pimpinan PAS baru-baru ini.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz menemuinya di Kuala Lumpur kira-kira dua bulan lalu, bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara Pejuang dan PH bagi pilihan raya negeri.