Berita Utama

Bajet 2023: Perlu tindakan segera tingkatkan ekonomi Bumiputera

Gejala Ali Baba, rasuah perlu dihapuskan elak ketirisan

BANGI, 3 Syaaban 1444H, Jumaat – Bajet 2023 yang akan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini memerlukan tindakan radikal bagi meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera.

Ini kerana, peruntukan kepada agensi yang memperjuangkan agenda Bumiputera masih tidak mencukupi, kata Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

“Kita perlu cara dan kaedah baharu dalam Bajet kali ini supaya memberi kesan yang segera pada Komuniti Ekonomi Bumiputera.

“Kita juga perlu mengenal pasti pasaran atau peluang dalam sektor baharu atau berteknologi tinggi untuk membangunkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing.

“Gejala Ali Baba perlu dihapuskan dan rasuah perlu dihapuskan agar ketirisan tidak berulang yang menjahanamkan agenda, meningkat jurang kekayaan antara rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Yazid menjelaskan, Bajet 2023 ini akan menjadi petunjuk terhadap jenis polisi dan program yang akan dilaksanakan kerajaan.

Sejajar dengan aspirasi Madani, kerajaan diharap tidak menjadikan pencapaian Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebagai sasaran utama pelaburan asing atas kepentingan pelabur tempatan.

“Sebaliknya, kerajaan perlu memperjuangkan dasar meningkatkan gaji pekerja sebagai cara utama meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.

“Galakan dalam bentuk dana atau pembebasan cukai untuk mengubah semula struktur ekonomi perlu diperkuatkan agar sektor tidak didominasi oleh kumpulan lain, tetapi memacu pertumbuhan dan inovasi sekaligus mengurangkan jurang kekayaan di kalangan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Meskipun belanjawan hanya merupakan peruntukan tahunan, ia perlu seiring dengan sasaran-sasaran utama Rancangan Malaysia Ke-12 dengan matlamat jelas yang boleh diukur.

Petang ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Bajet 2023 kira-kira 3 petang di Dewan Rakyat.

Sebelum ini Bajet 2023 disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan sebelum terbubarnya Parlimen, 10 Oktober lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button