Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Defisit fiskal Malaysia dijangka susut kepada 5.0 peratus dari KDNK

AS$3 bilion disediakan untuk tebus bon 1MDB: MOF

KUALA LUMPUR, 3 Syaaban 1444H, Jumaat  – Defisit fiskal Malaysia dijangka terus menyusut kepada 5.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada -RM93.94 bilion daripada -RM99.48 bilion pada 2022.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF) dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini yang dikeluarkan hari ini, defisit baki primer pula dianggarkan terus berkurangan kepada 2.5 peratus daripada KDNK kepada -RM47.84 bilion daripada -RM58.21 bilion pada 2022.

Hasil dijangka lebih rendah iaitu RM291.5 bilion atau 15.4 peratus daripada KDNK selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan jangkaan harga komoditi yang lebih sederhana. 

Jumlah perbelanjaan dianggarkan berkurangan secara marginal kepada RM386.1 bilion atau 20.4 peratus daripada KDNK terutamanya disebabkan oleh penamatan KWC-19 dan langkah mengoptimum perbelanjaan. 

Menurut MoF, peruntukan perbelanjaan mengurus (OE) dianggarkan berkurangan kepada RM289.1 bilion terutamanya disebabkan subsidi yang lebih rendah berikutan jangkaan harga minyak mentah yang sederhana dan langkah berperingkat ke arah mekanisme pemberian subsidi yang lebih bersasar. 

Selain itu, peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) dianggarkan meningkat dengan ketara kepada RM97 bilion melibatkan program dan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) seperti pembinaan lebuh raya dan infrastruktur pengangkutan awam, kemudahan perubatan dan institusi pendidikan.

Selain itu, sejumlah US$3 bilion disediakan untuk penebusan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Dalam usaha mengukuhkan kewangan awam dan membina semula ruang fiskal, kerajaan komited untuk meneruskan pelan konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF), meningkatkan disiplin fiskal dan memastikan kemampanan hutang.

“Oleh itu, usaha akan ditingkatkan bagi mengurangkan ketirisan perbelanjaan dan pembaziran, mengguna pakai rangka kerja subsidi lebih bersasar dan merapatkan jurang antara wilayah; meningkatkan mobilisasi hasil, meluaskan asas dan menambah baik insentif cukai; dan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti fiskal,” katanya. 

Selain itu, katanya isu kenaikan kos sara hidup terutamanya melibatkan golongan rentan mendorong kerajaan untuk mengekalkan magnitud belanjawan dan sebahagiannya untuk terus menyokong pemulihan. 

Menurut MoF, mekanisme subsidi yang lebih berkesan dan bersasar akan dilaksanakan melibatkan barangan dan perkhidmatan penting terpilih.

Selaras dengan aspirasi MADANI, katanya sumber fiskal disalurkan ke arah memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat, menambah baik infrastruktur pendidikan dan pembelajaran, memperkukuh sektor kesihatan, memastikan keterjaminan makanan, meningkatkan aktiviti pelaburan yang memberi impak serta menggalakkan digitalisasi dan kesalinghubungan.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button