Berita Utama

Kemakmuran 2022 pacu daya tahan ekonomi negara

RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion pembangunan

KUALA LUMPUR, 3 Syaaban 1444H, Jumaat – Kesejahteraan yang dikecapi Malaysia pada tahun 2022 dengan hasil yang jauh lebih tinggi susulan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan menjadi pemangkin kepada kerajaan memperuntukkan jumlah yang lebih besar dalam Belanjawan 2023, bagi memastikan ekonomi negara mampu mengharungi cabaran luar.

Justeru, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentangkan Belanjawan 2023 itu di Dewan Rakyat hari ini, telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM388.1 bilion,  meningkat daripada RM372.3 bilion yang dibentangkan pada Oktober 2022.

Sejumlah RM289.1 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka, katanya.

Selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion ketimbang (berbanding) RM71.6 bilion tahun lalu.

“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.

“Dengan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata, Belanjawan 2023 bertema  ‘Membangun Malaysia MADANI’ itu merupakan cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.

Belanjawan 2023 pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan terdahulu tetapi tidak dapat diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan.

Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi diunjurkan tumbuh sekitar 4.5 peratus, setelah mengambil kira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran.

“Saya yakin negara akan melepasi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus. Tentunya, ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kutipan hasil 2023 dijangka berjumlah RM291.5 bilion daripada RM294.4 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu belum mengambil kira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.

Belanjawan 2023 pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan terdahulu tetapi tidak dapat diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan.

Anwar berkata pertumbuhan ekonomi diunjurkan tumbuh sekitar 4.5 peratus, setelah mengambil kira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran.

“Saya yakin negara akan melepasi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus. Tentunya, ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kutipan hasil 2023 dijangka berjumlah RM291.5 bilion daripada RM294.4 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu belum mengambil kira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.

Menurut Perdana Menteri, hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus KDNK bagi tahun 2023 manakala bayaran khidmat hutang mencecah RM46 bilion atau 16 peratus daripada hasil iaitu melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan.

Kadar inflasi pula diunjur kekal seperti tahun 2022 iaitu pada kadar 3.3 peratus dan menjangkakan ia akan lebih tinggi jika ketidaktentuan rantaian bekalan global tidak ditangani, tambah beliau.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button