Kerajaan sasar perbelanjaan 2023 bernilai RM386.1 bilion
74.9 peratus diperuntuk untuk urus, 25.1 peratus lagi pembangunan

KUALA LUMPUR, 3 Syaaban 1444H, Jumaat – Jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada 2023 dijangka berkurang sebanyak 2.3 peratus kepada RM386.1 billion terutamanya disebabkan oleh penamatan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) pada 31 Dis, 2022.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi laporan Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini berkata, daripada jumlah tersebut, 74.9 peratus akan diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) manakala 25.1 peratus untuk perbelanjaan pembangunan (DE).
“Dari segi peruntukan mengikut sektor, 35.2 peratus daripada jumlah perbelanjaan diperuntukkan kepada sektor sosial diikuti oleh sektor ekonomi (19.1 peratus), keselamatan (9.7 peratus) dan pentadbiran am (5.1 peratus).
“Sementara itu, baki sebanyak 30.9 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan,” kata kementerian.
Menurut laporan tinjauan itu, peruntukan OE dianggar berkurang sebanyak 1.2 peratus kepada RM289.1 bilion atau 15.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) — disebabkan oleh peruntukan subsidi lebih rendah sejəjar dengan jangkaan harga komoditi yang menyederhana dan pelaksanaan secara berperingkat mekanisme subsidi bersasar.
Walau bagaimanapun, peruntukan emolumen, bayaran persaraan, bayaran khidmat hutang (DSC) dan pemberian kepada badan berkanun dijangka kekal tinggi.
“Emolumen dianggarkan meningkat 3.4 peratus kepada RM90.8 bililon dan kekal sebagai komponen terbesar OE iaitu 31.4 peratus.
“Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan gaji tahunan khas sebanyak RM100 di samping kenaikan gaji tahunan serta penyerapan pegawai kontrak ke jawatan tetap, terutamanya dalam sektor kesihatan dan pendidikan,” kata MoF.
Bayaran persaraan pula diunjur kekal stabil pada RM31.1 bilion yang merangkumi 10.7 peratus daripada jumlah OE. Daripada jumlah tersebut, RM23.9 bilion atau 76.9 peratus merupakan bayaran pencen manakala bakinya adalah bayaran gratuiti dan gantian cuti rehat terkumpul.
Sementara itu, DSC dianggarkan berkembang sebanyak 11.7 peratus kepada RM46.1 bilion atau 2.4 peratus daripada KDNK berikutan pinjaman terkumpul yang semakin meningkat terutamanya dalam tempoh pandemik.
Selain itu, perkhidmatan dan bekalan yang merangkumi 11.1 peratus daripada OE dijangka menyusut sebanyak 7.7 peratus kepada RM32 bilion — pengurangan ini terutamanya disebabkan oleh peruntukan perkhidmatan profesional yang lebih rendah.
Nisbah peruntukan perkhidmatan dan bekalan kepada KDNK pula dianggarkan sebanyak 1.7 peratus.
“Peruntukan subsidi dan bantuan sosial dijangka berkurang sebanyak 12.9 peratus kepada RM58.6 bilion berikutan jangkaan harga minyak mentah global lebih rendah serta sejajar dengan pelaksanaan secara berperingkat mekanisme subsidi bersasar.
“Selain itu, kerajaan akan terus menyediakan bantuan tunai bagi meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Menurut laporan itu, peruntukan geran kepada badan berkanun dijangka meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM15.1 bilion, sebahagian besar daripada peruntukan ini adalah bagi membiayai perbelanjaan operasi 20 universiti awam dan sembilan hospital pengajar.
Sementara itu, sejumlah RM8.1 bilion diperuntukkan kepada kerajaan negeri dalam bentuk geran dan pindahan yang merangkumi pemberian sebanyak RM6.1 bilion seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut MoF, sejumlah RM97 bilion diperuntukkan di bawah DE bagi melaksanakan projek pembangunan berkualiti yang memberi penekanan kepada pelaburan berimpak tinggi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
Kerajaan juga komited untuk memenuhi obligasi kewangan termasuk penebusan bon 1MDB bernilai US$3 billion yang akan matang pada Mac 2023 serta komitmen kewangan berkaitan PPP/PFI yang lain.
Dari sudut peruntukan sektoral, sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar iaitu sebanyak 56.7 peratus atau RM55 bilion dengan subsektor pengangkutan sebanyak 18.1 peratus atau RM17.6 bilion terutamanya untuk pembinaan jalan dan lebuh raya serta menaik taraf jalan, lapangan terbang dan pelabuhan sedia ada.
“Subsektor tenaga dan kemudahan awam pula akan menerima RM3.2 bilion untuk menaik taraf kemudahan awam luar bandar serta penyediaan bekalan air bersih dan tenaga bersih mampu milik.
“Sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan untuk subsektor pertanian bagi menangani isu berhubung keterjaminan makanan negara yang semakin perlu diberi perhatian,” tambahnya.
Dalam pada itu, perkhidmatan sosial merupakan sektor kedua terbesar yang menerima RM26.5 bilion atau 27.4 peratus daripada jumlah DE dan separuh daripada peruntukan tersebut diagihkan untuk subsektor pendidikan dan latihan.
“Subsektor kesihatan akan menerima RM4.9 bilion untuk membina, menaik taraf dan membaiki kemudahan kesihatan, manakala subsektor perumahan pula diperuntukkan sebanyak RM2.1 bilion bagi penyediaan rumah mampu milik,” kata MoF.
MoF menyatakan bahawa sejumlah RM11.5 billion akan disalurkan untuk sektor keselamatan dengan RM6.4 bilion diperuntukkan kepada subsektor pertahanan manakala bakinya adalah untuk subsektor keselamatan dalam negeri.
Sementara itu, sebanyak RM3.9 bilion akan diperuntukkan bagi sektor pentadbiran am terutamanya untuk menambah baik sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta membaik pulih, menaik taraf kelengkapan bangunan dan fasiliti kerajaan.- Bernama