
MUSCAT, 3 Syaaban 1444H, Jumaat – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) Oman memaklumkan ruang udara negara Teluk Arab itu akan dibuka untuk semua syarikat penerbangan awam termasuk Israel.
Langkah itu bagi membolehkan syarikat penerbangan Israel menggunakan koridor Arab Saudi-Oman untuk mengurangkan masa penerbangan ke Asia.
Seperti Oman, Arab Saudi tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel, namun negara itu membuka ruang udaranya kepada semua syarikat penerbangan pada musim panas lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel memberitahu bahawa koridor itu tidak boleh dilaksanakan sehingga Oman turut bersetuju.
“Menguatkuasakan keperluan antarabangsa dan setempat terhadap diskriminasi dalam berurusan dengan pesawat awam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam mengesahkan ruang udara terbuka kepada semua syarikat penerbangan,” kata CAA dalam satu kenyataan di Twitter.
Sementara itu, Menteri Luar Israel, Eli Cohan mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Oman, Sultan Haitham bin Tariq Al-Said dan menyifatkan laluan itu membantu memendekkan perjalanan ke Asia, selain mengurangkan kos kepada warga Israel.
Syarikat penerbangan Israel, El Al berkata, selain memendekkan tempoh penerbangan, kini pihaknya mengkaji pembukaan laluan baharu ke Australia dan memulakan semula perjalanan ke India.
Membuka ruang udara Arab Saudi untuk penerbangan ke dan dari Israel adalah salah satu tumpuan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ke rantau itu.
Langkah itu diambil ketika AS dan Israel berusaha untuk membina pakatan normalisasi hubungan antara Tel Aviv dan dua negara Teluk Arab.- Agensi