Berita UtamaDunia

Pakistan tutup semula lintasan Afghanistan-Pakistan

Dakwa Taliban guna laluan lindungi militan Pakistan

PESHAWAR, 4 Syaaban 1444H, Sabtu – Pakistan menutup semula lintasan dengan sempadan utama Afghanistan hanya beberapa jam selepas dibuka semula Khamis lalu.

Isu lintasan yang merupakan laluan perdagangan utama antara Afghanistan dan Pakistan telah mencetuskan ketegangan yang meningkat.

Ahad lalu, Afghanistan menutup lintasan berkenaan selepas mendakwa Islamabad tidak mematuhi perjanjian dengan Kabul untuk membenarkan pesakit dari Afghanistan melintas ke Pakistan tanpa dokumen perjalanan bagi mendapatkan rawatan.

Keesokan harinya, tentera Afghanistan dan pengawal sempadan berbalas tembakan sehingga mengakibatkan tentera Pakistan cedera.

Sementara pada Rabu lalu, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Mohammad Asif dan pegawainya, bertemu dengan pegawai kanan Taliban bagi membincangkan isu sempadan.

Laluan Torkham akhirnya dibuka semula pada Khamis oleh tentera Afghanistan dan membenarkan ribuan trak yang menunggu sejak beberapa hari di pintu sempadan – kebanyakannya menghantar keperluan asas seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan asas lain – untuk melintas laluan berkenaan.

Kedutaan Afghanistan di Pakistan menerusi kenyataan di laman Twitter memaklumkan, pembukaan semula lintasan tersebut memberi peluang kepada pemandu apabila kenderaan mereka boleh melalui di sepanjang Khyber Pass.

Bagaimanapun, Pengarah Dewan Perniagaan dan Industri Afghanistan-Pakistan, Ziaul Haq Sarhadi memaklumkan, lintasan berkenaan ditutup semula selepas beberapa jam kemudian dan penutupan lintasan disebabkan isu pentadbiran.

Pusat media di wilayah Nangarhar Afghanistan memaklumkan, lintasan sempadan Torkham ditutup oleh Pakistan selepas beberapa jam dibuka.

Bagi Pakistan, lintasan sempadan Torkham adalah laluan perdagangan ke negara-negara Asia Tengah.

Namun, Islamabad mendakwa Taliban Afghanistan menyediakan tempat perlindungan untuk militan Pakistan yang melakukan serangan sekali gus menyebabkan peningkatan keganasan di Pakistan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button