Berita Utama

Belanjawan 2023 tiada ‘faktor wow’

BERJASA bimbang peruntukan tinggi Belanjawan 2023 di kala ekonomi tak menentu

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Syaaban 1444H, Sabtu – Belanjawan 2023 yang dibentang Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam mencetuskan persoalan di atas kesanggupan kerajaan mengeluarkan belanjawan tinggi dalam keadaan ekonomi yang sangat tidak menentu, selain jangkaan berlaku kemelesetan ekonomi dunia.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, Belanjawan 2023 yang dibentangkan Anwar merupakan yang terbesar dalam negara dengan peruntukan sebanyak RM388 bilion.

“Jadi jumlah besar ini menimbulkan persoalan adakah negara mampu untuk kekal dan meneruskan kemantapan serta pengurusan negara dengan baik.

“Kerana kita tahu hutang negara juga tinggi sehingga mencecah RM1.2 trilion dan melebihi 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain defisit fiskal negara sebanyak 5 peratus berbanding 5.6 peratus sebelum ini tetapi masih lagi defisit.

“Ini yang perlu kita lihat dan adakah mampu menampung perjalanan negara pada tahun ini dan tahun-tahun ke depan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembentangan Belanjawan 2023 oleh Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau secara peribadi menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula tiada yang luar biasa dan lonjakan yang drastik serta yang menarik.

Sebaliknya, beliau melihat ia sama sahaja seperti yang pernah diperkenalkan kerajaan-kerajaan sebelum ini dengan menggunakan jenama baharu.

“Mengambil kira pengalaman Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum ini saya melihat tiada faktor ‘wow’ dalam pembentangan dan disifatkan sebagai belanjawan yang amat mengecewakan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran tema Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri ke-10 yang banyak disebutkan dalam pembentangan berkenaan.

“Kita tertanya-tanya adakah konsep Madani mampu memberi solusi tuntas dalam menyelesaikan ekonomi negara atau sekadar jenama yang digantikan inisiatif kerajaan sebelum ini.

“Kalau melihat namanya wujud unsur Islamik tetapi kita tak nampak isu pemerkasaan Islam dan agensi Islam bahkan sangat mengecewakan apabila sebanyak RM50 juta diperuntukan kepada rumah-rumah bukan Islam yang turut menerima suntikan dan dana daripada pihak-pihak lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button