Protokol siasat hakim langgar prinsip pengasingan kuasa: MPM
Institusi kehakiman seolah dilihat cuba ceroboh bidang kuasa eksekutif

BANGI, 4 Syaaban 1444H, Sabtu – Keputusan Mahkamah Persekutuan menetapkan protokol kepada badan penguat kuasa yang mahu menyiasat hakim dilihat seperti melanggar prinsip pengasingan kuasa antara kehakiman dan eksekutif.
Pengerusi Biro Politik dan kepimpinan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun berkata, protokol berkenaan seolah-olah menggambarkan institusi kehakiman cuba menceroboh bidang kuasa eksekutif.
“Sewajarnya institusi kehakiman lebih terbuka dengan siasatan oleh badan penguat kuasa.
“Ini bagi memastikan tiada kesalahan dilakukan oleh hakim sekali gus memastikan institusi tersebut bersih daripada salah lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan mengeluarkan penghakiman bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan siasatan lain berhak secara Perlembagaan untuk menjalankan siasatan.
Antara protokol ditetapkan termasuk badan penyiasat SPRM perlu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan, ketika menyiasat dan sebelum pendakwa raya melakukan pendakwaan.
Mengulas lanjut perkara itu, Shahbudin mempersoalkan di mana pengasingan kuasa di negara ini apabila protokol berkenaan dilaksanakan.
“Jika terdapat dakwaan salah laku terhadap hakim, siapakah yang akan membersihkan hakim? Bagaimanakah badan kehakiman tahu bahawa hakim tidak melakukan sebarang kesalahan melainkan terdapat penyiasatan yang dijalankan oleh penyiasat?
“Bolehkah sesebuah institusi membersihkan diri sendiri? Seorang ketua jabatan seharusnya mengalu-alukan siasatan dan mengatakan bahawa pihaknya ingin mengetahui penemuan itu secepat mungkin,” katanya.
Shahbudin menegaskan, protokol yang ditetapkan Mahkamah Persekutuan itu tidak pernah dibangkitkan dalam siasatan pihak berkuasa terhadap beberapa bekas hakim kanan dan ketua hakim negara sebelum ini.
Sebelum ini, katanya, SPRM pernah menyiasat beberapa hakim kanan namun tidak pernah disebut perlu memaklumkan kepada ketua hakim negara atau forum kehakiman.
Katanya, SPRM yang dikenali Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu pernah menyiasat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin yang bercuti bersama peguam terkenal.
“Terdapat juga hakim kanan lain yang pernah disiasat tetapi tiada satu pun forum kehakiman menyebut tentang protokol berkenaan,” katanya.