Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Dua hari bertarung nyawa, mangsa tong gas meletup meninggal dunia

GEORGE TOWN, 5 Syaaban 1444H, Ahad – Seorang wanita meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang selepas dua hari bertarung nyawa setelah cedera parah akibat letupan tong gas memasak di rumahnya di Flat Taman Sri Bayu, Jalan Kampung Bukit, Bayan Lepas dekat sini.

Pengawal keselamatan, Sarimah Abdul Rahman, 55, menghembuskan nafas terakhir pada 4.19 petang semalam dan perkara itu disahkanya oleh anak tunggal mangsa, Hafizan Sulaiman, 35.

Hafizan berkata, ibunya ditidurkan sejak pukul 10 malam Khamis iaitu hari sama mangsa dihantar ke HPP selepas cedera parah akibat letupan tong gas memasak dalam kejadian kira-kira 9 pagi.

“Ibu ketika dibawa ke HPP masih dalam keadaan sedar dan dia kemudiannya semakin lemah sebelum doktor tidurkannya semasa menerima rawatan lanjut, keadaan kesihatan ibu semakin merosot dan tidak menentu selepas itu.

“Doktor hubungi saya memaklumkan keadaan kesihatan ibu semakin teruk dan saya terus ke hospital sebelum dimaklumkan ibu telah pergi meninggalkan saya untuk selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Beliau yang terkilan dan sedih dengan kejadian menimpa ibunya berkata wanita itu sebelum ini tinggal dengannya namun baru berpindah ke flat berkenaan kerana lebih dekat dengan tempat kerja emaknya di sana.

“Selalunya saya bertemu ibu seminggu sekali tapi sejak sebulan lepas ibu selalu mengelak untuk berjumpa dan sering beri alasan sibuk serta tiada cuti, saya reda dengan pemergian ibu namun dalam masa sama masih bersedih dan sangat terkilan,” katanya yang beberapa kali menahan sebak.

Terdahulu, media melaporkan mengenai kejadian letupan tong gas memasak sehingga menyebabkan wanita itu cedera dan melecur lebih 60 peratus dalam kejadian 9 pagi Khamis lepas.

Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tinggal bersendirian di rumah sewanya sebelum itu menyalakan dapur untuk memasak tanpa menyedari tong gas berkenaan mengalami kebocoran sebelum meletup.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button