Indeks Persepsi perlihat betapa teruknya amalan rasuah negara kita
Segerakan insiatif berkait integriti dalam Belanjawan 2023 elak ketirisan

BANGI, 5 Syaaban 1444H, Ahad – Amalan rasuah dan penyelewengan sudah menjadi budaya sistemik hingga memberikan kesan buruk kepada tata kelola kerajaan sekali gus membentuk imej negatif kepada negara.
Hal itu terbukti dalam ucapan Belanjawan 2023, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia pada 2022 Malaysia – sekali lagi jatuh merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 kita capai pada 1998.
Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kampus Raub, M Ariff Asyrul Adnan berkata, perbandingan ini secara jangka panjang memperlihatkan betapa teruknya sisi amalan rasuah dan penyelewengan di negara ini.
Namun pada satu takat katanya, amalan ini berjaya dikawal dan direndahkan kadarnya apabila pimpinan negara dengan iltizam politik tinggi bersungguh membanteras amalan rasuah dan penyelewengan.
Dengan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 juga menjadi petanda wujud ketirisan hampir RM3 bilion merangkumi kehilangan wang, pembaziran dan pembayaran tidak teratur serta ketirisan pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion diselewengkan pada 2022.
Atas dasar itu, M Ariff mengakui beberapa inisiatif mendasar berkaitan integriti perlu segera digerakkan dalam usaha merealisasikan tahap pengamalan dan pembudayaan integriti dalam kerajaan di bawah pimpinan Anwar.
Beliau berkata, program pembudayaan integriti peringkat nasional bakal memberikan nilai penting kepada usaha memerangi rasuah dan penyelewengan.
Sebaiknya program berkenaan diselarikan dengan segera bagi memastikan Belanjawan 2023 berjaya dilaksanakan.
“Program pembudayaan integriti nasional ini boleh dimanifestasikan kepada dua bentuk memfokuskan soal pembangunan dasar dan advokasi.
“Adalah satu keperluan untuk Malaysia memiliki set dasar berkaitan integriti sebagai panduan penting pembangunan pembudayaan integriti.
“Pada masa sama, program advokasi memasyarakatkan integriti dalam komuniti juga perlu dibangunkan kembali,” katanya menulis di Berita Harian (BH), hari ini.
M Ariff berkata, panduan itu juga dilihat penting bagi memastikan tiadanya ketirisan dalam pengurusan dana kerajaan, apatah lagi tatkala kerajaan menumpukan projek besar untuk menarik pelaburan asing.
“Tumpuan kepada usaha reformasi institusi juga perlu diberikan penekanan secara serius.
“Keseriusan ini diperlihatkan dengan reformasi institusi dijadikan sebagai tumpuan dalam tiga dekad utama Belanjawan 2023 sebagai usaha mendepani amalan rasuah dan penyelewengan dalam sistem negara,” katanya.