Serangan bom di Pakistan ragut lima nyawa
Bom pada motosikal diletupkan guna alat kawalan jauh

ISLAMABAD, 5 Syaaban 1444H, Ahad – Sekurang-kurangnya lima terbunuh manakala 16 yang lain cedera dalam serangan pengeboman di sebuah bazar di Bakhan, Pakistan.
Menurut pihak berkuasa, setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Ketua polis tempatan, Sajjad Afzal berkata, siasatan awal mendapati bom diletakkan pada motosikal dan diletupkan menerusi alat kawalan jauh.
Selain nyawa terkorban, serangan bom itu turut mengakibatkan beberapa premis kedai di bazar berkenaan rosak teruk.
Sementara itu, Ketua Menteri Baluchistan, Abdul Qudoos Bizenjo mengutuk insiden pengeboman itu dan menyifatkannya sebagai serangan keganasan.
Terdahulu, pihak berkuasa mendakwa telah menghentikan pemberontakan, namun keganasan di wilayah itu masih berterusan.
Wilayah bergolak itu menyaksikan beberapa siri serangan Taliban Pakistan dan kumpulan militan Daesh.- Agensi