Dunia

Turkiye bina rumah untuk 1.5 juta mangsa gempa bumi

200,000 pangsapuri, 70,000 rumah kampung dengan kos AS$15 bilion

ANKARA, 5 Syaaban 1444H, Ahad – Turkiye kini memulakan projek membina semula rumah untuk 1.5 juta mangsa gempa bumi dahysat yang melanda selatan negara itu pada 6 Februari lalu.

Lebih 160,000 bangunan yang mempunyai 520,000 unit kediaman pangsapuri runtuh serta rosak teruk akibat gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan mengumumkan angka kematian di Turkiye meningkat kepada 44,218, sementara di Syria 5,914 – menjadikan keseluruhan melebihi 50,000 orang.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berjanji untuk membina semula rumah dalam tempoh setahun, walaupun pakar mengakui kerajaan perlu mengutamakan keselamatan berbanding kepantasan menyiapkan projek.

Rancangan awal kerajaan Turki adalah untuk membina 200,000 pangsapuri dan 70,000 rumah kampung dengan kos sekurang-kurangnya AS$15 bilion.

Bank Amerika Syarikat (AS), JPMorgan menganggarkan pembinaan semula rumah dan infrastruktur awam akan menelan belanja AS$25 bilion.

Rumah ini untuk mereka yang terselamat sama ada yang meninggalkan kawasan, menetap sementara di khemah, rumah kontena atau penginapan tajaan kerajaan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button