Berita Utama

100 hari perintah belum nampak taring pimpinan Anwar

‘Dulu dia banyak membodohkan orang lain dengan kritik kerajaan terdahulu’

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI,6 Syaaban 1444H, Isnin – Meskipun sudah 100 hari memerintah, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mampu membuktikan ‘taringnya’ dalam mentadbir urus seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini, kata Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim.

“Sayangnya selepas beberapa bulan diberikan mandat, rakyat tidak lagi nampak perubahan untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Rakyat juga kecewa apabila tiada pembaharuan yang ditonjolkan terutama dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini.

“Namun di pentas politik, dia banyak membodohkan orang lain dengan mengkritik kerajaan terdahulu seolah-olah hanya dia sahaja boleh urus negara dengan baik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Merujuk Belanjawan 2023 lalu, Anwar berulang kali menyatakan negara memiliki hutang yang banyak dan negara berada dalam keadaan yang tenat kesan daripada pentadbiran yang gagal sebelum ini.

Ustaz Zamani mempersoalkan kenapa Anwar perlu mendedahkan perkara itu, sepatutnya sebelum menjadi pemimpin utama negara beliau perlu bersedia menghadapi cabaran berkenaan.

“Takkan selepas menjadi Perdana Menteri baru sedar, sepatutnya sebelum itu lagi rancang apa yang patut dilakukan,” katanya.

Atas dasar itu, Ustaz Zamani berharap Anwar mengambil pendekatan yang menyeluruh dan memikirkan perancangan yang sesuai dalam menyelesaikan masalah terutama rakyat.

Malah, Perdana Menteri juga berharap Perdana Menteri tidak terlalu mengangkat agenda mahkamah tetapi biarlah siasatan dilakukan mengikut perundangan yang sebenar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button