Berita Utama

Ismail Sabri nafi bersara

Tak pertahan jawatan Naib Presiden UMNO, tapi terus berkhidmat sebagai MP Bera

KUALA LUMPUR, 6 Syaaban 1444H, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau belum bersara daripada politik, sebaliknya akan terus berkhidmat kepada pengundinya dalam pelbagai jawatan.

Beliau memenangi perebutan jawatan ketua UMNO Bahagian Bera tanpa bertanding dan beliau masih lagi Ahli Parlimen Bera.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, khidmatnya akan berterusan walaupun beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

“Saya telah memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera tanpa bertanding. Bagaimanapun, saya memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO.

“Memandangkan saya Ahli Parlimen Bera, saya akan terus berkhidmat kepada pengundi saya dan itu bermakna saya tidak bersara daripada politik,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau diminta mengulas laporan berita baru-baru ini yang memetik sumber mengatakan bahawa beliau ‘bersara daripada politik’ berdasarkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO.

Laporan berita itu kemudiannya diperbetulkan dan memohon maaf kepada Ismail kerana tersilap menyatakan bekas perdana menteri itu akan bersara daripada politik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button