Artikel Khas

Jangan sampai pesakit datang ‘berbogel’ baharu menteri nak sedar

Susah sangatkah nak jadi bangsa beradab dan bertamadun

SAYA amat yakin tindakan ultra kiasu ke hospital dan ke balai polis, dengan memakai pakaian yang tidak senonoh, tidak ada kaitan dengan kecemasan, tetapi disengajakan.

Budaya memakai pakaian sesingkat-singkatnya dan membuka bahagian atas badan, sudah menjadi amalan biasa keluarga ultra kiasu, walaupun agama dan budaya mereka sendiri tidak membenarkan.

Apabila mereka terperangkap, maka diada-adakan cerita menjadi viral, bagi memburukkan imej perkhidmatan awam atau pihak berkuasa.

Memang ada perancangan ultra kiasu untuk menjadikan negara ini liberal, atau menjadi lebih liberal daripada Barat. Barat pun kadangkala tidak seteruk kita.

Contoh, pakaian bikini, hanya di kolam mandi atau di pantai, pulang ke hotel atau naik lif hotel, mereka tidak boleh berbikini, kena tutup.

Berbeza sangat dengan kita, ultra kiasu ini akan terus berbikini, selamba masuk ke kafé dan lif hotel.

Dalam kata lain, ultra kiasu tidak suka dan tidak mahu adanya kod atau etika berpakaian dikenakan. Ultra kiasu mahu bebas memakai apa sahaja yang dia suka, tanpa ada apa-apa halangan atau sekatan.

Ultra kiasu akan mencari seribu satu alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Lebih-lebih lagi ketika PH memerintah.

Jika tidak percaya, pergilah ke mana-mana, lihat pakaian anak-anak ultra kiasu ini.

Mereka akan memakai pakaian sependek-pendeknya skirt dan seluar, manakala bahagian atas akan didedahkan seluas-luasnya. Dengan tidak menafikan ada juga muslim yang berpakaian sedemikian.

Sebab itu, sebelum menteri membuat sebarang kenyataan dan keputusan, buatlah penyelidikan dahulu.

Pergilah buat lawatan ke bangunan kerajaan yang menjadi tumpuan awam seperti klinik, hospital, imigresen, balai polis, pejabat pendaftaran dan sebagainya.

Ya, saya tidak nafikan, kita tidak wajar lagi melihat kepada pakaian, apabila ada kes kecemasan, terutama antara hidup dan mati.

Tetapi kalau fikir secara logik, kenapa memakai pakaian sebelum itu, yang terlalu mencolok mata dan seksi dalam kehidupan harian.

Ini budaya dari mana. Rakyat Malaysia ada agama dan budaya.

Agama dan budaya bangsa mana yang membenarkan pakaian yang begitu mencolok mata?

Justeru, saya menasihatkan menteri berkenaan, jangan hanya pandai bercakap. Pergilah membuat lawatan ke pejabat-pejabat yang saya sebut tadi, tengoklah cara ultra kiasu ini berpakaian.

Kod etika pemakaian bagi orang awam yang mahu berurusan dengan pejabat kerajaan bukan dibuat sesuka hati, tanpa ada sebab dan justifikasinya. Jauh sekali untuk menyusahkan.

Kita ini adalah orang Timur, masyarakat yang ada asas agama dan ada adab budayanya. Kita ada panduan hidup, mahu hidup harmoni. Kita tidak perlu kebaratan untuk nampak maju dan moden. Susah sangatkah untuk menjadi satu bangsa beradab dan beretika serta bertamadun?

Jika mahu menjadi bangsa bertamadun, kod etika ini, bukan hanya terhad kepada sahaja di balai polis atau pejabat kerajaan, tetapi semua tempat. Kalau boleh di tempat-tempat awam. Lagi pun mendedahkan anggota badan secara keterlaluan bukan budaya kita.

Bila dah terkena, baharulah nak bising. Kemudian, melakukan provokasi dan menularkan perkara itu seolah-olah tindakan mereka itu betul, pihak berkuasa yang salah.

Lebih malang lagi, pejuang-pejuang hak asasi manusia yang jahil murakab ini turut bersama mereka.

Saya kurang bersetuju dengan pendapat mengatakan bahawa mengenakan skirt atau seluar terlalu pendek, boleh menggugat keimanan golongan lelaki. Sebagai seorang lelaki, kita bukannya kebulur sangat melihat semua itu. Banyak benda lain lagi yang boleh dilihat dan menghiburkan.

Lagi pun, kod etika pemakaian itu bukanlah peraturan baharu. Pergilah ke mana-mana pejabat kerajaan sudah tertera kenyataan memperingatkan, sila berpakaian sopan ketika berurusan dengan pejabat kerajaan

Ultra kiasu bukan tidak tahu, dia tahu, tetapi sengaja dia mahu mencabar, kecualilah dia tidak tahu membaca tulisan bahasa Melayu.

Ketika berada di Semporna, Sabah (semasa artikel ditulis), saya terlihat ultra kiasu wanita sanggup berseluar dalam pendek dalam bot dan naik ke jeti Semporna. Tidak mustahil, suatu hari ini mereka berbogel dalam bot dan jeti.

Kalau tidak mahupun berpegang kepada Rukun Negara, sekurang-kurangnya hormati sedikit agama dan budaya bangsa kamu.

Ultra kiasu selalu menuduh saya sebagai pengkhianat bangsa Cina kerana selalu ‘mengutuk’ bangsa sendiri.

Saya ingin tegaskan, yang mengkhianati dan merosakkan tamadun bangsa Cina ini bukan saya, tetapi kamu ultra kiasu.

Hujah saya, dengan berpakaian sopan, adat budaya bangsa saya sentiasa terpelihara.

Apabila budaya bangsa saya melarang berpakaian seksi, saya tidak pakai.

Apabila budaya bangsa saya melarang saya minum arak, saya tidak minum.

Apabila budaya bangsa melarang seks bebas, saya menjauhi.

Apabila budaya bangsa melarang saya berjudi, saya tidak berjudi.

Semua ini menjaga nama baik budaya bangsa saya. Tambahan pula, agama Islam yang saya anuti, mempunyai asas yang kukuh dalam menjaga peradaban bangsa saya.

Marilah wahai ultra kiasu, berpegang teguh kepada agama dan budaya bangsa kamu. Jaga diri kamu dengan mematuhi kesopanan dan kesusilaan seperti termaktub dalam Rukun Negara. Jangan rosakkan agama dan budaya bangsa kamu sendiri.

Prof Dr Mohd RRidhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button