Berita Utama

Siapa dalang di sebalik dokumentari ‘bias’ Al-Jazeera?

Salahkan kerajaan tanpa cerita kesukaran petugas barisan hadapan

BANGI, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Siapakah dalang yang memberi idea untuk membuat dokumentari bias dan berat sebelah sehingga memburukkan imej Malaysia, soal Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Menyelar laporan dokumentari ‘Locked Up in Malaysia Lockdown’ daripada agensi berita Al-Jazeera, beliau berkata, laporan berkenaan hanya tertumpu untuk menyalahkan Kerajaan Persekutuan semata-mata, tanpa menceritakan kesukaran petugas barisan hadapan mengurus pandemik COVID-19. 

Beliau turut menempelak kandungan dokumentari berkenaan yang tidak pula menyiarkan sikap tidak bertanggungjawab pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana bertindak di luar batasan dengan membaling objek tertentu, selain gagal memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan. 

“Pendatang asing tanpa izin perlu dibezakan dengan pekerja asing yang sah, jelas ini tidak diterangkan dalam dokumentari tersebut kerana pada keseluruhan masanya, Al-Jazeera cuba meletakkan kedua-dua kumpulan ini dalam kelompok yang sama. 

“Dokumentari tersebut seolah-olah cuba memaparkan Kerajaan Malaysia telah mengumpulkan kesemua warga asing tanpa mengira status, walhal yang dikumpul hanyalah mereka yang masuk secara haram ke negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kehadiran warga asing yang masuk secara haram atau tinggal melebihi tempoh ditetapkan adalah kesalahan jenayah yang tertakluk kepada undang-undang Persekutuan negara. 

Beliau berkata, penularan wabak menyukarkan semua pihak, bukan sahaja golongan migran yang hilang punca pendapatan, tetapi ramai lagi rakyat Malaysia dan pekerja asing yang datang secara sah terpaksa berdepan masalah sama.

“Naratif dokumentari ini yang cuba untuk menonjolkan hanya warga asing tanpa izin sahaja yang susah dan merasakan diri mereka ditindas adalah satu jalan penceritaan yang sangat tidak adil kepada semua yang terkesan dengan wabak COVID-19.

“Perlu diingatkan bahawa penguatkuasaan terhadap golongan pendatang asing tanpa izin ini bukanlah satu perkara yang luar biasa kerana ia juga dilaksanakan di negara-negara lain di luar negara,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan terpaksa mengumpulkan PATI kerana tiada dalam rekod kerajaan Malaysia, sekali gus menyukarkan untuk mengetahui tahap kesihatan mereka bagi membendung penularan wabak. 

“Sekiranya mereka datang ke negara ini secara sah dan mengikut peraturan yang ditetapkan, mereka tidak akan berdepan dengan masalah ini malah akan tetap dibantu seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

“Kita mendapat maklum bahawa Al-Jazeera sendiri mempunyai wakil mereka di Malaysia, dari kalangan wartawan dan jurufoto. Malah, Facebook Al Jazeera East 101 juga mempunyai pengendali yang sedang berada di sini.

“Sudah tentu mereka telah melihat bagaimana cekap, telus dan efisyen kerajaan Malaysia mengendalikan krisis COVID-19, sekiranya mereka benar-benar jujur untuk melaporkan kebenaran,” katanya.

Difahamkan, Bukit Aman akan memanggil wartawan Al Jazeera dan agensi berita itu bagi melengkapkan siasatan selepas menerima beberapa laporan polis mengenai laporan dokumentari pengendalian PATI ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuntut Al Jazeera memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan fakta tidak benar.

Katanya, Al Jazeera melakukan pembohongan apabila mendakwa kanak-kanak warga asing tanpa izin diperlakukan dengan kejam termasuk digari ketika dibawa ke Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button