Wujudkan undang-undang tangani karya di luar kawalan LPF
Jakim, LPF perlu kerjasama dengan SKMM babit karya hina Islam

BANGI, 6 Syaaban 1444H, Isnin – Sudah tiba masanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) apabila membabitkan karya yang dianggap menghina agama Islam.
Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, langkah itu khusus untuk karya yang berada di luar kawalan LPF, apatah lagi dalam perkara membabitkan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, platform media yang di luar kawalan LPF menjadi satu medan untuk karya-karya yang bertentangan dengan akidah Islam.
“Hemat saya, seorang muslim warganegara Malaysia tetap terikat dengan undang-undang Syariah kita.
“Adakah soal-soal ideologi, fikrah, penyelewengan akidah ini kita hanya tangani melalui pendidikan? Adakah undang-undang tidak berguna? Ini anggapan yang salah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian merujuk Filem Mentega Terbang 2021 yang ditayang menerusi platform internet bermula 19 Januari lalu, dan dikatakan membawa elemen mempersendakan Islam.
Filem diterbitkan Tan Meng Kheng dan Pengarah Khairi Anwar itu berkisahkan seorang gadis (Aishah) berusia 16 tahun mengkaji al-Quran, Bible, Turah, Hindu dan Buddha untuk mencari jawapan mengenai ‘what happen when we die’.
Menerusi hantaran Zabidi Mohamed, filem ini didakwa menghina, meremeh, merendah-rendahkan, menodai dan mempersendakan Islam secara terang terangan (blasphemy). Ia berikutan mempunyai banyak kriteria dan ciri-ciri blasphemy ke atas Islam dalam filem ini.
Atas dasar itu, Prof Dr Rafidah bersetuju bahawa satu undang-undang perlu diwujudkan untuk menangani karya-karya seni yang berunsurkan penyelewengan akidah dan mempersendakan agama, khususnya untuk kandungan di luar kawalan LPF.
Beliau berkata, sedangkan negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan Russia mewujudkan akta melarang mempromosi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sekolah.
“Jadi kenapa bila perkara melibatkan penyelewengan fikrah, kita tidak berusaha memikir undang-undang baru sesuai dengan perkembangan teknologi? Kita malas berfikir tentang ‘loopholes’ yang ada?
“Kita berserah kepada realiti (yang dicipta oleh pihak lain?) eg zina dan homoseksualiti berleluasa contohnya, sedangkan kita pun boleh mencipta realiti/bi’ah yang solehah?,” katanya.