Kerajaan Anwar masih dibayangi jiwa pembangkang
Tak fokus selesai isu rakyat, sekadar ketengah idea populis 'separuh masak'

BANGI, 7 Syaaban 1444H, Selasa – Prestasi kerajaan campuran masih belum mencapai tahap memuaskan meskipun sudah melewati 100 hari pertama di bawah pentadbiran Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, setakat ini tiada pembaharuan yang ditonjol sama ada ke arah pembangunan negara, mahupun isu-isu utama membabitkan ekonomi rakyat.
Dalam tempoh 100 hari, beliau melihat kerajaan pimpinan Anwar sekadar melaksanakan perancangan sedia ada dan pendekatan populis untuk menutup kelemahan.
“Pendekatan populis masih ketara digunakan untuk meringankan beban ekonomi rakyat, tetapi respon dilihat idea yang diketengahkan seolah separuh masak.
“Tidak menyelesaikan masalah sebenar tentang kenaikan harga barang,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.
Bukan hanya gagal menyelesaikan isu pokok, Fahmi mendakwa, kerajaan juga tidak fokus menyelesaikan isu rakyat dan menunaikan janji manifesto ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Tetapi lebih fokus kepada menggunakan kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang kepada lawan.
“Sekatan media sosial TikTok, bekukan akaun, tindakan saman, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tuduhan-tuduhan yang menampakkan kerajan tidak matang serta dibayangi jiwa pembangkang walau sudah menjadi kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut meragui ‘kerjasama’ yang terbentuk dalam Kabinet Anwar memandangkan ianya tidak dilihat sebagai perpaduan, sebaliknya sekadar kerajaan gabungan untuk mencukupkan jumlah kerusi.
“Dari segi keterbukaan memang tak nampak. Masih tertutup dan budaya cantas, replace berlaku dengan agak ketara.
“Sehingga berlaku pemecatan pegawai kerajaan yang profesional. Penempatan pegawai yang tiada kelayakan,” katanya.
Menurut Fahmi, pengaruh kerajaan Anwar juga semakin menyusut khususnya membabitkan sokongan orang Melayu yang beralih kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang.
“Ini cabaran untuk PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang. Saya melihat seolah-olah kerajaan sekadar melaksanakan apa yang telah dirancang lama.
“Bukan melaksanakan dasar merujuk kepada kajian yang mendalam yang lebih menyeluruh bagi menyelesaikan masalah sebenar rakyat dan negara,” katanya.