Lagi gempa bumi di Turkiye, seorang maut, 69 cedera
Penduduk diminta jauhkan diri dari bangunan berisiko

KAHRAMANMARAS, 7 Syaaban 1444H, Selasa – Sekurang-kurangnya seorang terbunuh selepas gempa bumi berukuran 5.6 skala Richter menggegarkan wilayah Malatya timur Turkiye pada Isnin.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara, gempa bumi baharu itu berlaku beberapa minggu selepas dua gegaran dahysat di wilayah itu pada 6 Februari lalu.
Ketua Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Yunus Sezer berkata, kira-kira 69 yang lain turut dilaporkan cedera.
Gempa bumi berlaku pada jam 12.04 tengah hari waktu tempatan dan berpusat 6.96 kilometeri di bawah permukaan di daerah Yesilyurt.
Gempa bumi turut dirasai di wilayah jiran Kahramanmaras, Gaziantep, Adiyaman dan Sanliurfa.
“Dimaklumkan bahawa beberapa bangunan musnah dalam gempa itu. Pasukan mencari dan menyelamat telah dihantar ke kawasan bencana,” kata AFAD di Twitter.
Agensi itu turut memberi amaran kepada penduduk supaya tidak memasuki struktur rosak dan meminta mereka menjauhi bangunan yang berisiko di wilayah berkenaan.
Gegaran susulan terus berlaku meskipun Turkiye dalam fasa menangani kesan gempa bumi dahsyat di wilayah selatan negara itu.
Sekurang-kurangnya lebih 44,000 orang terkorban akibat gempa bumi berkekuatan 7.7 dan 7.6 magnitud itu.- Agensi